Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 19 Nov (Bernama) -- Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang baharu, R.M. Iman Hascarya Kusumo berkata melindungi pekerja migran dari negaranya akan menjadi antara keutamaan utamanya apabila beliau memulakan tugas.
Dilantik oleh Presiden Prabowo Subianto pada 8 Okt, beliau berkata mekanisme sedia ada akan dipertingkatkan, khususnya koordinasi antara agensi kedua-dua negara bagi melindungi kebajikan pekerja, termasuk sebelum mereka berlepas ke Malaysia.
“Rangka kerja itu sudah ada, tetapi ia boleh diperkukuh,” katanya seperti dipetik Radio Republik Indonesia.
Iman merancang untuk bekerjasama dengan agensi di kedua-dua negara bagi mengukuhkan perlindungan kesihatan, termasuk sokongan pemeriksaan perubatan pra-pelepasan.
Iman, sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Timbalan Bendahari Pasukan Kempen Nasional Prabowo-Gibran semasa Pilihan Raya Presiden 2024.
-- BERNAMA