JENAYAH & MAHKAMAH

Pengusaha Kolam Ikan Rugi Hampir RM120,000 Akibat Banjir

19/11/2025 03:13 PM

KUALA PILAH, 19 Nov (Bernama) -- Seorang pengusaha ikan baung dan keli di sini mengalami kerugian hampir RM120,000 selepas kolam ternakan ditenggelami air akibat banjir kilat yang berlaku lewat petang semalam di Ulu Bendul di sini.

Pengara Anak Manding, 47, berkata beliau dimaklumkan oleh pekerjanya pada 7 malam selepas hujan lebat tanpa henti sejak 5.30 petang menyebabkan kolam ikan mereka dinaiki air.

Ketika kejadian, beliau berada di rumah namun tidak boleh pergi ke kolam itu kerana semua laluan ke Kuala Pilah dinaiki air.

"Saya ada empat kolam tetapi yang paling teruk ialah dua kolam ikan... satu kolam ada lapan hingga sembilan tan ternakan ikan keli, semuanya dalam persediaan untuk dipasarkan kepada pengedar dan pembeli tetapi semuanya habis terlepas.

"Ada satu lagi kolam dipenuhi ikan baung... kita masukkan 150,000 benih anak ikan empat bulan lepas dan tunggu lagi empat bulan sahaja untuk dituai dan dijual tetapi sayang, semuanya sudah terlepas dihanyutkan banjir," katanya kepada Bernama hari ini.

Anak jati Sarawak itu berkata beliau mengusahakan kolam tersebut selama lapan tahun, dan ini kali ketiga ia dilanda banjir namun ini adalah yang terburuk pernah dialaminya

Beliau berkata hasil ternakan itu adalah untuk pasaran di seluruh Negeri Sembilan, Pahang, Selangor, Johor dan Kuala Lumpur.

Bagi Idris Abdul Rahman, 41, yang mengusahakan kolam pancing dan ternakan air masin Ulu Bendul, kejadian berlaku sangat cepat dan air naik dengan begitu pantas serta menjejaskan kolam ternakan ikan kelinya.

"Apabila orang kampung bertanya tentang ikan keli dari kolam yang terlepas ini, saya menyuruh mereka menangkap dan mengambilnya, anggap sahaja sebagai sedekah.

"Kita tidak boleh buat apa-apa, ikan terlepas ke dalam longkang tepi jalan, jadi ramailah yang datang ambil," katanya yang belum mengenal pasti jumlah kerugiaan.

Beliau berkata kolam pancingnya yang mula beroperasi sejak 2018 dipenuhi dengan pelbagai spesies ikan air masin seperti jenahak, kerapu, bawal, siakap dan senangin.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492611