KOTA KINABALU, 19 Nov (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Sibuga Datuk Suhaimi Nasir, berjanji memacu usaha penubuhan kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di Hab Pendidikan Sandakan sebagai keutamaan dasar, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah berkata hasratnya itu bukan janji politik, tetapi strategi pembangunan berasaskan data, rasional dan keperluan di Sandakan.
“Wilayah yang tidak mempunyai institusi ilmu, wilayah yang tidak mempunyai masa depan. Dengan UniKL di Sandakan, kita membina masa depan yang lebih besar daripada diri kita sendiri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
DUN Sungai Sibuga merupakan antara tiga DUN dalam kawasan Parlimen Libaran yang bersempadan dengan Parlimen Sandakan.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran menegaskan kini bukan lagi masa untuk hanya menunggu limpahan pembangunan dari luar, tetapi perlu bergerak mengemudi sendiri agenda pendidikan dan transformasi wilayah.
Beliau berkata cadangannya itu turut diperakui sebagai langkah tepat oleh Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang menyokong cadangan itu semasa majlis ramah mesra bersama pemimpin di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni di Sandakan, di sini hari ini.
“Kesediaan MARA mempertimbangkan cadangan ini memberi isyarat jelas bahawa Sandakan berada pada landasan strategik, untuk menjadi pusat kecemerlangan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi Sabah Timur,” katanya.
Suhaimi berkata cadangan itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk memperkukuh TVET nasional, malah UniKL, sebagai institusi MARA yang mempunyai reputasi antarabangsa, dilihat berpotensi menjadi pusat rujukan pendidikan teknikal dan profesional di Borneo.
Beliau berkata Sandakan memerlukan pusat pendidikan tinggi berskala nasional, bagi menutup jurang akses pendidikan berkualiti dan tanpa institusi seperti UniKL, bakat-bakat muda Sandakan terus berhijrah dan ekonomi tempatan kekal tersekat dalam kitaran tenaga kerja sederhana.
“Sabah Timur memiliki sektor-sektor strategik perladangan, perikanan, agro-teknologi, logistik dan biodiversiti yang memerlukan tenaga mahir, berpensijilan profesional dan berupaya memimpin industri.
“Kehadiran UniKL akan membentuk hubungan simbiotik antara akademia dan industri, mewujudkan sebuah ekosistem pendidikan berasaskan kepada permintaan, bukan sekadar kampus yang mengeluarkan graduan tanpa hala tuju,” katanya.
Hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 ditetapkan pada 29 Nov, manakala undi awal pada 25 Nov.
Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
| N52: SUNGAI SIBUGA: SABAH: 38,678 | ||||||||||
|
||||||||||
| (2020: Mohamad Hamsan Awang Supian, BN-UMNO. Majoriti: 1,538) | ||||||||||
-- BERNAMA