AM

Video Tular Tangkapan Bersenjata Di Stadium Hang Jebat Merupakan Latihan Tentera

19/11/2025 06:54 PM

MELAKA, 19 Nov (Bernama) -- Video berdurasi 45 saat yang tular menerusi WhatsApp memaparkan tangkapan bersenjata di hadapan Stadium Hang Jebat di sini, merupakan latihan menyelamat tebusan orang kenamaan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata simulasi itu dilaksanakan pada 6.30 petang semalam membabitkan 45 anggota yang bertindak sebagai musuh dan pihak berkuasa serta menggunakan beberapa kenderaan.

“Simulasi bertumpu kepada rundingan yang tidak mendapat persetujuan musuh dan seterusnya memerlukan tindakan taktikal oleh pasukan penyelamat. Latihan berlangsung 45 minit dan berjaya dilaksanakan dengan selamat serta terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Christopher berkata Kursus Tempur Jarak Dekat Siri TJD/1/2025 itu bermula pada 10 Nov dan berakhir 22 Nov dan membabitkan pergerakan konvoi, pengiring orang kenamaan, kawalan keselamatan, pengendalian ancaman serta simulasi situasi kritikal.

Beliau berkata latihan dijalankan di kawasan tumpuan seperti Ayer Keroh, Stadium Hang Jebat, Banda Hilir, Klebang, Simpang Ampat dan Sungai Udang.

“Sepanjang latihan, orang ramai mungkin melihat pergerakan kenderaan latihan menggunakan reben hijau, anggota penuntut dan jurulatih memakai pas pengenalan kelabu serta kad pengenalan tentera untuk pengesahan.

“Beberapa kenderaan turut digunakan termasuk Perodua Myvi, Bezza dan Ativa selain Honda City, Proton Saga, Toyota Noah serta beberapa motosikal Yamaha dan Honda,” katanya.

Beliau berkata semua anggota terlibat lengkap dengan peralatan keselamatan latihan serta dibekalkan peluru kosong bagi tujuan simulasi dan kawad taktikal.

“Orang ramai dinasihatkan tidak panik atau terpengaruh dengan maklumat tidak sahih yang mungkin tersebar di media sosial berkaitan pergerakan konvoi bersenjata atau bunyi tembakan kosong di kawasan latihan,” katanya.

Beliau berkata mereka mempunyai pertanyaan berkaitan latihan boleh menghubungi Pegawai Latih Kapt Muhammad Silmi Mansor menerusi talian 014-5224634.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492776