JENAYAH & MAHKAMAH

Kontinjen Terakhir MALBATT 850-12 Tiba Di Tanah Air Petang Tadi

18/11/2025 09:30 PM

SUBANG, 18 Nov (Bernama) -- Kontinjen terakhir Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 yang bertugas di bawah misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) sejak November tahun lepas selamat tiba di tanah air petang tadi.

Ketibaan kontinjen keempat seramai 209 anggota yang menaiki penerbangan AirAsia itu mendarat di Pangkalan Udara Subang di sini pada 5.30 petang bersama tujuh anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).

Ketibaan mereka disambut oleh Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, Pemerintah ABDB Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Muhammad Haszaimi  Bol Hassan dan Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain

MALBATT 850-12 dianggotai seramai 854 anggota yang diatur gerak ke Lubnan pada 6 Nov tahun lepas dan ditempatkan di Kem Ma’rakah serta Kem Tibnin di selatan negara tersebut.

Mohd Nizam dalam ucapannya berkata pasukan MALBATT 850-12 menunjukkan komitmen tinggi sepanjang penugasan terutama ketika berdepan cabaran susulan konflik Israel-Gaza yang tercetus sejak 7 Okt 2023.

Beliau berkata ketegangan serantau itu secara langsung menjejaskan keselamatan di selatan Lubnan.

“Insiden pada 7 Nov 2024 yang mengakibatkan enam anggota kita cedera ketika dalam pergerakan dari Beirut ke Kem Ma'rakah adalah peringatan jelas bahawa tugas sebagai sebuah pasukan pengaman bukanlah mudah," katanya.

Mohd Nizam berkata penglibatan berterusan Malaysia dalam misi pengaman PBB mencerminkan peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebagai angkatan  berwibawa, dihormati dan komited terhadap keamanan sejagat. 

Beliau berkata penyertaan itu bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di persada antarabangsa malah memperkukuh keupayaan ATM melalui operasi sebenar di kawasan konflik.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492371