AM

Plaza Perangsang Dinaik Taraf Kepada Hotel Grand Mercure Shah Alam

19/11/2025 09:33 PM

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) hari ini mengumumkan transformasi strategik bangunan Plaza Perangsang di Seksyen 14 di sini kepada Hotel Grand Mercure Shah Alam, hotel kedua jenama Grand Mercure di Malaysia yang dijangka beroperasi pada suku kedua 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif PKNS Datuk Mahmud Abbas berkata transformasi Plaza Perangsang merupakan sebahagian daripada misi strategik PKNS di bawah inisiatif projek SA Sentral, bertujuan memperkukuh kedudukan Shah Alam sebagai sebuah bandar moden, dinamik dan berdaya saing.

Beliau berkata usaha transformasi itu dimeterai melalui perjanjian pengurusan hotel dan perjanjian perkhidmatan perundingan hotel antara DPMS Hospitality Sdn Bhd dan Accor pada 15 Okt lepas, sekali gus menandakan permulaan fasa baharu bagi projek peremajaan pusat Bandaraya Shah Alam. 

“Melalui kerjasama ini, Accor, iaitu kumpulan hospitaliti terkemuka di dunia dilantik sebagai pengendali hotel untuk menguruskan operasi, manakala DPMS Hospitality bertanggungjawab sebagai pemilik hotel dan PKNS kekal sebagai pemilik tanah serta pemaju utama keseluruhan pembangunan ini.

“Kerjasama dengan Accor melalui jenama Grand Mercure ini melambangkan komitmen PKNS untuk memperkukuh sektor hospitaliti di Selangor, selaras dengan kempen Tahun Melawat Selangor serta temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026,” katanya pada sidang media Sneak Preview Grand Mercure Shah Alam di Galeria SA Sentral di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden Pembangunan Indonesia Malaysia Accor Rio Kondo dan Ketua Pegawai Eksekutif (Designate) SA Sentral Datuk Mohd Najib Ibrahim.  

Mahmud berkata di bawah pelan  pengoptimuman aset PKNS, bangunan setinggi 27 tingkat yang dibina pada 1998 yang telah lama menjadi mercu tanda pentadbiran dan komersial di Shah Alam akan diposisikan semula daripada menara pejabat konvensional kepada destinasi perniagaan dan rekreasi bersepadu. 

Beliau berkata Hotel Grand Mercure Shah Alam yang berada di aras 18 hingga 26B bangunan bakal menawarkan 156 bilik penginapan premium serta kemudahan lengkap bertaraf antarabangsa merangkumi restoran, spa, kolam renang, pusat kecergasan, bilik mesyuarat, dewan bankuet dan ruang khas untuk kanak-kanak.

“Projek hotel bertaraf antarabangsa itu dijangka menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa, selain membuka peluang baharu kepada pelabur untuk turut bersama-sama mengembangkan sektor pelancongan serta perkhidmatan di Selangor.

“Selain hotel, projek transformasi ini juga akan menempatkan pelbagai komponen lain termasuk ruang pejabat moden, co-working space berkonsep fleksibel, lebih daripada 600 lot parkir bertingkat serta rangkaian kafe dan restoran,” katanya.

Sementara itu Rio berkata pembangunan Grand Mercure Shah Alam akan mengukuhkan lagi kedudukan Accor sebagai peneraju industri hospitaliti di Malaysia dengan misi jenama Grand Mercure adalah untuk menginspirasi tetamu menerokai keindahan tempatan, meraikan kekayaan budaya setempat melalui pengalaman penginapan bertaraf premium yang menggabungkan tradisi, keanggunan serta keaslian. 

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan lebih rapat bersama rakan kongsi kami, PKNS dalam projek ini dan kami melihat ini hanyalah langkah pertama ke arah lebih banyak pembangunan hotel pada masa hadapan,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd Najib berkata bagi merealisasikan aspirasi SA Sentral sebagai nadi baharu Bandaraya Shah Alam, PKNS kekal komited memastikan setiap projek membawa impak ekonomi dan sosial yang jelas melalui pembangunan lestari, penciptaan peluang pekerjaan, pengukuhan hubungan 10 komuniti, serta peningkatan nilai aset negeri dalam jangka panjang.

Beliau berkata inisiatif kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada agenda transformasi PKNS yang lebih menyeluruh dan holistik, selari dengan aspirasi memperkukuh pembangunan negeri secara strategik, lestari dan berimpak tinggi.

“Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memainkan peranan terutama PKNS dibawah pasukan SA Sentral, rakan strategik, konsultan, dan semua pemegang taruh yang terus memberikan kepercayaan dan komitmen kepada perjalanan transformasi ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2492830