KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Nestcon Bhd, Nestcon Infra Sdn Bhd (NISB) memeterai perjanjian pemegang saham dengan Wawasan Dengkil Sdn Bhd (WDSB) dan WDSolar Sdn Bhd (JV Co) untuk pelaburan bersama dalam syarikat usaha sama (JV Co) dan membangunkan loji fotovolta (PV) solar berskala besar 70 megawatt (MW) di Kedah.
Nestcon dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata loji PV berkenaan, iaitu projek di bawah program LSS Petra 5+, terletak di Ayer Puteh, Pendang, Kedah (Projek LSS5+).
Menurutnya konsortium yang terdiri daripada NISB, WDSB dan Pristine Multi-Vision (M) Sdn Bhd (PMVSB) telah mengemukakan tender kepada Suruhanjaya Tenaga (ST) bagi Projek LSS5+ dan disenarai pendek pada 2 September, tertakluk kepada pemeteraian Perjanjian Pembelian Tenaga Solar dengan Tenaga Nasional Bhd menjelang 19 Disember untuk tempoh 21 tahun.
Sementara itu, JV Co yang diperbadankan pada 14 Okt 2025 akan melaksanakan pembangunan, pembiayaan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan projek berkenaan. Ketika diperbadankan, WDSB memegang 51 peratus kepentingan ekuiti dalam JV Co, NISB sebanyak 30 peratus manakala PMVSB 19 peratus.
"Pada 24 Okt 2025, WDSB dan PMVSB memohon kelulusan ST untuk WDSB mengambil alih manakala PMVSB memindahkan 19 peratus pegangannya dalam JV Co kepada WDSB," katanya.
Nestcon berkata usaha sama (JV) yang dicadangkan itu sejajar dengan strateginya untuk memperluas pembabitan dalam sektor tenaga boleh baharu dan mewujudkan asas pendapatan berulang yang mampan melalui perjanjian pembelian tenaga jangka panjang.
“Projek LSS5+ memberi peluang kepada kumpulan untuk membangunkan loji PV LSS Petra 5+ 70MW di Kedah selaku negeri yang dikenal pasti mempunyai potensi solar dan rancangan pelaburan hijau yang semakin berkembang.
“Melalui kerjasama dengan WDSB, JV yang dicadangkan itu membolehkan NISB memanfaatkan keupayaan kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan sambil memanfaatkan pengalaman WDSB dalam kerja-kerja tanah, kerja awam dan pelaksanaan projek.
“Projek yang dicadangkan itu dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih sesaham, pendapatan sesaham dan tahap kadar hutang kumpulan sepanjang tempoh usaha sama berkenaan.
“Langkah ini seterusnya dijangka meningkatkan prestasi kewangan keseluruhan syarikat dan nilai pelaburan pemegang saham dalam jangka panjang,” katanya.
Nestcon berkata projek berkenaan akan dibiayai melalui dana dalaman dan dijangka tidak memberi impak penting terhadap pendapatan atau tahap kadar hutang dalam tempoh terdekat.
Menurutnya syarikat tidak menjangkakan sebarang risiko berlainan daripada biasa selain risiko operasi yang normal, dan usaha sama itu tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau kawal selia.
-- BERNAMA