KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Jabatan Kerja Raya (JKR) akan meningkatkan pemantauan, rondaan dan pemeriksaan di lokasi cerun berisiko sangat tinggi yang telah dikenal pasti seluruh negara sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL).
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata langkah itu bertujuan mengesan tanda-tanda awal kejadian cerun runtuh serta memastikan sistem saliran di cerun sentiasa berada dalam keadaan baik.
“Bagi memantau pergerakan permukaan cerun, had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh JKR, dan hebahan awal akan disalurkan kepada JKR Daerah, JKR Negeri serta pihak berkepentingan.
“Maklumat ini berdasarkan data hujan yang diperoleh daripada Sistem Amaran Awal serta data pergerakan cerun yang dipasang pada cerun-cerun berisiko,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) mengenai persediaan kementerian menghadapi MTL bagi memastikan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa dalam keadaan selamat.
Nanta berkata setakat ini, sebanyak 34,633 cerun telah diinventori di seluruh negara, dan daripada jumlah itu, 1,572 lokasi dikenal pasti mempunyai tahap risiko sangat tinggi.
“Selain itu, pengumpulan data peta bahaya dan risiko cerun di sepanjang jalan negeri di Semenanjung oleh Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR Malaysia melibatkan 2,100 kilometer panjang jalan per cerun telah siap dilaksanakan Ogos lepas,” katanya.
Beliau berkata dalam menghadapi musim MTL, JKR mengambil langkah proaktif merangkumi strategi prabencana, semasa bencana dan pasca bencana bagi memastikan Jalan Persekutuan dan cerun sentiasa dalam keadaan selamat.
“Ia termasuk menggariskan tindakan awal sekiranya berlaku insiden (runtuhan) seperti pembersihan laluan dan pengalihan debri tanah serta pelan pengurusan trafik merangkumi penyediaan jalan lencongan alternatif sementara.
“Turut diberi perhatian ialah pemasangan perlindungan permukaan cerun yang runtuh menggunakan propolene sheet bagi membendung runtuhan susulan, sebelum kerja pembaikan kekal dilaksanakan di kawasan terbabit,” katanya.
-- BERNAMA