AM

YSIJ Serah 500 Unit Peralatan Sekolah Kepada Pelajar Di Pasir Gudang

20/11/2025 07:06 PM

JOHOR BAHRU, 20 Nov (Bernama) -- Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) menyumbangkan 500 unit peralatan sekolah kepada pelajar di komuniti Pasir Gudang, di sini.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sumbangan itu melibatkan pelajar daripada sembilan sekolah kebangsaan, termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Pemegang Amanah Urusan YSIJ Datuk Avinderjit Singh kepada Timbalan Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang (Sektor Pembangunan Murid) Baharudin Ishak, di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 1, Johor Bahru, pada Selasa.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ Mohd Anizam Jamian.

Sementara itu dalam ucapannya Baharudin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YSIJ atas komitmen berterusan dalam membantu murid-murid serta keluarga mereka.

“Sumbangan ini bukan sahaja meringankan beban, bahkan memberikan semangat baharu kepada anak-anak kita untuk terus belajar,” katanya.

Turut disampaikan 400 pek makanan sumbangan QSR Brands (M) Holdings Bhd.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493156