Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) telah berkurangan, menunjukkan pasaran masih tidak yakin dengan satu lagi penurunan kadar dalam mesyuarat pada Disember.
Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.1565/1645 berbanding dolar AS daripada 4.1480/1530 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, selain kekurangan data, tahap ketidakpastian mengenai dasar telah meningkat dan keadaan ini akan menyokong nilai dolar AS dalam masa terdekat.
“Indeks Dolar AS (DXY) lebih sedikit daripada 100 mata berikutan data ekonomi pembukaan semula kerajaan AS masih belum dikeluarkan.
“Selain itu, pegawai Rizab Persekutuan (Fed) tidak berminat untuk menurunkan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit menyusut hari ini susulan kekurangan data ekonomi AS.
Menurutnya kejutan ini terus meredakan kemungkinan kadar Fed menurun pada Disember daripada kira-kira 50 peratus kepada 30 peratus.
“Ini menyebabkan hasil bon jangka pendek AS meningkat apabila peniaga tidak lagi menjangkakan pelonggaran dasar dalam masa terdekat,” katanya.
Innes berkata bagi ringgit, ini merupakan titik tekanan yang biasa: pertumbuhan AS yang lebih kukuh serta jumlah penurunan kadar faedah yang lebih sedikit daripada dijangka menyebabkan perbezaan kadar AS-Malaysia lebih besar, menarik aliran modal ke arah dolar AS.
“Pasaran akan menilai data gaji bukan ladang September yang tertangguh malam ini, dan sekiranya data kurang memberangsangkan, kita menjangka ringgit dibuka mengukuh esok,” katanya.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6446/6498 daripada 2.6598/6632 semasa ditutup pada Rabu, mengukuh berbanding euro kepada 4.7916/8008 daripada 4.8013/8071 semalam, dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4367/4472 daripada 5.4451/4516 sebelumnya.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1809/1873 daripada 3.1810/1851 pada Rabu, namun menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.8093/8395 daripada 12.7977/8191 semasa ditutup semalam, rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 248.3/248.9 daripada 248.2/248.6, dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.04/7.05.
-- BERNAMA