PASARAN

Bursa Malaysia Kekal Rendah Pada Tengah Hari, Seiring Penjualan Serantau

21/11/2025 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan sesi pagi dengan prestasi rendah pada Jumaat apabila terus mengalami penurunan, menjejaki penjualan di peringkat rantau susulan prestasi lemah Wall Street dalam tempoh semalaman.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.69 mata atau 0.17 peratus kepada 1,617.27 daripada 1,619.96 ketika ditutup semalam.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 2.24 mata lebih rendah kepada 1,617.72, bergerak antara 1,614.60 hingga 1,618.85 sepanjang sesi.

Lingkungan pasaran adalah negatif,dengan 766 kaunter rugi mengatasi 273 kaunter untung manakala 449 kaunter tidak berubah, 1,299 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.66 bilion unit bernilai RM1.39 bilion.

Nikkei 225 Jepun merosot 2.43 peratus kepada 48,615.43, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 2.07 peratus kepada 25,300.28 manakala Indeks KOSPI Korea Selatan menguncup 1.88 peratus kepada 3,857.24.

Kalangan kaunter wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank dan Press Metal masing-masing naik dua sen kepada RM9.92 dan RM6.49, IHH Healthcare meningkat empat sen kepada RM8.17, MISC kekal pada RM7.79, manakala Public Bank, CIMB dan TNB masing-masing turun dua sen kepada RM4.28, RM7.51 dan RM13.12.

Saham paling aktif, Borneo Oil naik setengah sen kepada satu sen, Tanco kekal pada RM1.03, Zetrix AI susut tiga sen kepada 82.5 sen, V.S Industry dan HE Group masing-masing turun setengah sen kepada 43.5 sen dan 36.5 sen, manakala Perak Transit susut satu sen kepada 27 sen.

Kaunter paling untung ialah BLD Plantations yang melonjak 50 sen kepada RM13.80, Formosa Prosonic meningkat 47 sen kepada RM2.04, Kobay Technology naik 21 sen kepada RM1.61 dan Eurospan Holdings menokok 14 sen kepada RM3.14.

Kalangan kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.10 kepada RM112.20, Malaysian Pacific susut 92 sen kepada RM29.78, Petronas Dagangan turun 36 sen kepada RM21.12, dan Hong Leong Industries kurang 26 sen kepada RM15.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 turun 36.45 mata kepada 11,760.84, Indeks FBM Emas menguncup 42.90 mata kepada 11,988.11, Indeks FBM Emas Syariah kurang 48.98 mata kepada 11,975.65, Indeks FBM Mid 70 merosot 125.89 mata kepada 16,796.89, manakala Indeks FBM ACE susut 69.18 mata kepada 4,904.38.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan turun 1.23 mata kepada 8,224.97, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 39.81 mata kepada 18,383.57, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menguncup 1.67 mata kepada 164.73, dan Indeks Tenaga susut 3.55 mata kepada 753.74.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493454