Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri minggu dagangan ini dengan prestasi yang lebih lemah dan ditutup lebih rendah pada Jumaat susulan kebimbangan terhadap permintaan yang lemah, kata seorang peniaga.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata peningkatan pengeluaran dalam beberapa minggu akan datang dan harga kacang soya yang lebih rendah juga memberi kesan negatif terhadap sentimen pasaran.
"Oleh itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,050 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,200 setiap tan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan pengeluaran MSM Malaysia untuk 2025 dijangka melebihi pengeluaran 2024 dengan unjuran pengeluaran boleh melepasi 19.5 juta tan, naik dari 19.3 juta metrik tan pada 2024.
MPOB juga menjangkakan eksport minyak sawit Malaysia untuk 2025 akan lebih tinggi.
Katanya, data eksport akhir untuk tahun penuh akan diumumkan pada Januari 2026 semasa persidangan semakan dan unjuran tahunan MPOB.
Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 merosot RM62 kepada RM4,050 setiap tan, Januari 2026 turun RM76 kepada RM4,063 setiap tan dan Februari 2026 susut RM86 kepada RM4,069 setiap tan.
Mac 2026 berkurang RM92 kepada RM4,078 setiap tan, April 2026 kehilangan RM95 kepada RM4,082 setiap tan dan Mei 2026 susut RM90 kepada RM4,084 setiap tan.
Jumlah dagangan berkembang kepada 121,669 lot daripada 70,608 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menokok kepada 287,400 kontrak daripada 278,925 kontrak sebelumnya.
Harga fizikal MSM untuk Disember Selatan mengecil sebanyak RM50 kepada RM4,100 setiap tan.
-- BERNAMA