JENAYAH & MAHKAMAH

Sebutan Semula Kes Mekanik Didakwa Bunuh Kanak-Kanak Di Rampangi 7 Jan

21/11/2025 02:42 PM

KUCHING, 21 Nov (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menetapkan 7 Jan tahun depan untuk sebutan semula  kes seorang mekanik yang didakwa membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun di Kampung Rampangi, Santubong dekat sini, awal bulan lepas. 

Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali menetapkan tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya Chuah Kai Sheng memaklumkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum diperoleh. 

Mohammad Shukri Ryan, 32, yang tidak diwakili peguam didakwa membunuh Nurzahieyka Zainuddin, di rumah di Kampung Rampangi, Jalan Sultan Tengah pada 7.45 malam, 7 Okt lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Difahamkan mangsa merupakan anak kepada rakan wanita tertuduh.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493461