SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Dua bekas pegawai bank hari ini dijatuhi hukuman denda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 13 pertuduhan pilihan gagal melaporkan perbuatan rasuah membabitkan RM26,484 kepada pihak berkuasa.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan memaklumkan pada prosiding di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin, Muhammad Nashriq Emmeir Ismail,33, mengaku bersalah atas lapan pertuduhan.
Menurut SPRM, tertuduh didakwa menerima wang berjumlah RM20,153 sebagai balasan kerana mencadangkan sebuah firma guaman sebagai penyedia dokumen perjanjian pembiayaan beberapa pelangan mengikut Subseksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.
Prosiding itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nidzuwan Abd Latip manakala Muhammad Nashriq tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.
Kenyataan itu memaklumkan di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang lagi bekas pegawai bank didenda RM17,000 atau penjara 16 bulan selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan di bawah subseksyen sama.
Menurut SPRM, Maziah Hanum Hamidon, 43, didakwa menerima wang sebanyak RM6,331 yang dimasukkan ke dalam akaun miliknya menerusi lima transaksi daripada sebuah firma guaman.
“Ia sebagai balasan kerana mencadangkan firma guaman berkenaan sebagai penyedia dokumen perjanjian pembiayaan beberapa pelanggan,” menurut kenyataan itu.
Kes itu didengar di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud dan dikendalikan oleh Nidzuwan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA