POLITIK

Rekod Cemerlang Lima Tahun, Pacu Keyakinan Peto Pertahan Inanam

21/11/2025 03:53 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) – Rekod lima tahun membawa projek besar ke Inanam hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan menjadi sandaran utama penyandangnya, Datuk Peto Galim, untuk terus memperkukuh pembangunan kawasan itu pada penggal akan datang.

Peto, 59, yang juga Timbalan Pengerusi PKR Sabah, berkata pengalaman mentadbir Inanam selama ini membolehkannya menumpukan penyelesaian terhadap isu-isu asas yang telah lama dihadapi penduduk, termasuk kesesakan jalan, banjir, kemiskinan bandar, ketiadaan dokumen, dan infrastruktur tidak mencukupi.

Beliau menegaskan bahawa rekod kerja serta jaringan kerjasama dua hala yang telah dibina membuktikan keupayaannya untuk terus memperkukuh pembangunan Inanam sekiranya diberikan mandat sekali lagi sebagai wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

“Kita ada kelebihan kerana sudah menjadi ADUN kawasan ini selama lima tahun dan telah memulakan tugas lebih awal. Banyak hasil kerja telah ditunjukkan dan dapat dilihat oleh masyarakat di Inanam,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jentera Pilihan Raya PKR Sabah itu, beberapa projek strategik telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama kukuh antara kerajaan negeri dan Persekutuan, antaranya Projek Tebatan Banjir Likas bernilai hampir RM126 juta yang diluluskan tahun ini.

“Jika projek ini siap sepenuhnya beberapa tahun daripada sekarang, ia tidak sepenuhnya menyelesaikan masalah, tetapi secara drastik akan mengurangkan banjir teruk di kawasan Likas, Taman Nelly, Kolombong dan Inanam,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa perbincangan dan usaha bersama kerajaan negeri dan Persekutuan membolehkan pengaktifan semula projek tebatan banjir di Menggatal, termasuk kelulusan tambahan lebih RM30 juta bagi melengkapkan fasa kedua hingga ke laut.

Selain itu, Peto berkata pelaksanaan beberapa projek infrastruktur yang kini berjalan lancar – termasuk peningkatan kecekapan trafik di pekan Inanam serta kerja naik taraf jalan di Menggatal dan Batu 5 – merupakan hasil hubungan kerja yang baik antara pelbagai agensi persekutuan dan negeri.

“Pergi saja ke Inanam sekarang. Anda boleh lihat kerja-kerja sedang dilaksanakan dan perubahan ketara, seperti bulatan Inanam yang telah ditukar menjadi lampu isyarat dan hampir siap,” katanya.

Beliau menambah, rekod pencapaian itu turut merangkumi pewartaan lebih 22 kampung serta pembinaan lebih 300 rumah Program Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) yang disalurkan terus kepada keluarga di DUN Inanam sejak dilancarkan pada 2022.

Selain itu, Peto berkata pembangunan Dewan Masyarakat Besar Utama Inanam yang terbengkalai puluhan tahun turut berjaya dimulakan semula hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk kerajaan Persekutuan.

“Kali ini, pengundi di kawasan Inanam masih mengharapkan sentuhan dan jawapan terhadap masalah asas terutamanya berkaitan air, jalan raya, kesesakan, kemiskinan, ketiadaan dokumen, pembangunan infrastruktur, dan peluang pekerjaan.

“Presiden PKR ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jika kita menang PRN ini, khususnya di Inanam, kita mempunyai kelebihan signifikan kerana menjadi sebahagian daripada pembuat dasar dalam kerajaan negeri,” katanya.

Dalam misi menawan semula Inanam, satu daripada DUN dalam Parlimen Sepanggar selain Karambunai dan Darau, Peto akan berdepan saingan 13 penjuru pada PRN ke-17.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov sebagai hari pengundian, manakala undi awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

 

N18: INANAM: SABAH: 45,525

1. Sumali @ Marino Ahmad                        (Rumpun)

2. Gordon Lai Han Yung                              (PBK)

3. Shone Eric Jr. Majimbun                         (Bebas)

4. Wong Lee Kah (lewis) @ Lewis Wong    (KDM)

5. Edna Jessica Majimbun                           (Warisan)

6. Datuk Kenny Chua Teck Ho                     (STAR)

7. Datuk Wong Thien Fook                          (UPKO)

8. Martin Sibit                                               (GAS)

9. Datuk Peto Galim                                     (PH-PKR)

10. Chia Yun Kong                                       (PR)

11. Roland Chia Ming Shen                         (Bebas)

12. Paul Anap                                              (PIS)

13. Joseph Linggian @ Joseph Chong        (Anak Negeri)

 

(2020: Peto Galim: Warisan Plus - PKR: Maj: 5,638)

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493469