Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 21 Nov (Bernama) -- Halagel (M) Sdn Bhd melancarkan semula pengedaran produknya di Kota Padang melalui kerjasama dengan Aciak Mart, iaitu antara rangkaian runcit terbesar di Sumatera Barat.
Langkah ini menandakan kemunculan semula Halagel di pasaran Indonesia selepas operasi terhenti ketika pandemik COVID-19, dengan tumpuan kini beralih daripada Greater Jakarta (Jakarta Raya) kepada Sumatera, yang mempunyai penduduk hampir 60 juta orang.
Majlis pelancaran dirasmikan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Medan Shahril Nizam Abdul Malek dan turut dihadiri Pengurus Besar Halagel Ahmad Mokhzani Ahmad Rodzi, Pengasas Aciak Mart Amril Amin dan wakil Majlis Amanah Rakyat (MARA) Nazura Mansor.
“Pulau Sumatera mempunyai hampir dua kali ganda populasi Malaysia dengan budaya yang hampir serupa. Syarikat Malaysia wajar merebut potensi besar ini melalui kerjasama dengan rakan tempatan yang berwibawa.
“Pihak Konsulat Jeneral sentiasa bersedia membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran Sumatera,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pelancaran semula itu berlangsung ketika hubungan perdagangan Malaysia-Sumatera Barat terus mengukuh dengan nilai dagangan dua hala mencecah US$235 juta (US$1=RM4.15) pada 2024, disokong 22 penerbangan langsung mingguan antara Kuala Lumpur dan Kota Padang.
Ahmad Mokhzani pula berkata kerjasama dengan Aciak Mart membuka peluang pengedaran yang lebih luas di rangkaian runcit seluruh Sumatera Barat.
“Aciak Mart adalah rakan strategik terbaik untuk kami. Kami turut merancang meluaskan pasaran ke wilayah lain termasuk Yogyakarta dan Makassar,” katanya.
Produk Halagel diimport melalui anak syarikatnya PT Halagel Idaman Makmur yang ditubuhkan pada 2017 dan memiliki sijil halal serta kelulusan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia.
Ditubuhkan pada 1997, Halagel adalah pengeluar produk berasaskan gelatin, suplemen kesihatan dan barangan pengguna seperti ubat gigi, gel mandian, syampu, garam masakan dan kopi segera.
Produk Halagel dijual di pasar raya utama seperti Lotus’s, Aeon Big, Econsave, Mydin dan The Store serta turut dieksport ke luar negara seperti Kazakhstan, China dan Emiriah Arab Bersatu.
-- BERNAMA