EKONOMI

Usahawan, Perniagaan Di Selangor Ada Asas Kuat Gerakkan Ekonomi ESG - Exco

21/11/2025 02:49 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Usahawan dan perniagaan di Selangor kini mempunyai asas yang kukuh dalam menggerakkan ekonomi berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), walaupun wujud isu pematuhan yang bukan sahaja berlaku di dalam negara.

Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, berkata usaha-usaha tersebut sedang dilaksanakan oleh Sidec Sdn Bhd bagi membolehkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) beralih kepada operasi yang mampan (ESG Compliance).

“Kita sudah mempunyai asas yang baik untuk menggerakkan insentif kepada ekosistem ini… walaupun Parlimen Kesatuan Eropah (EU) telah mengundi untuk memansuhkan sebahagian besar peraturan mengenai Pelaporan Kemampanan dan Kewajipan Wajar (CSRDD), menjadikan peraturan tersebut lebih fleksibel.

“Ini bermakna lebih 90 peratus syarikat yang sebelum ini perlu mematuhi peraturan ESG kini tidak perlu berbuat demikian. Perubahan ini dibuat hasil tekanan daripada persatuan perniagaan di Amerika Syarikat,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Mu’izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) yang ingin mengetahui jumlah usahawan dan perniagaan di Selangor yang telah beralih kepada operasi kemampanan ESG.

Ng berkata kerajaan negeri memahami cabaran dan pematuhan seperti kurang pendedahan kepada PKS, masalah aliran tunai, dan kapasiti atau keupayaan kepakaran dalaman syarikat untuk mengukur prestasi ESG. 

“Sehubungan itu, kerajaan negeri melalui Sidec Sdn Bhd dan agensi berkaitan sedang giat memacu inisiatif ESG di kalangan PKS dan usahawan, antaranya melalui penganjuran SME ESG Summit untuk mendidik PKS tentang kepentingan dan manfaat mematuhi amalan ESG.

“Selain itu, Program Selangor Accelerator Programme (SAP) dan Selangor E-Commerce Xccelerator (ECX) turut menyepadukan elemen ESG dalam latihan dan bimbingan mereka. Perancangan Pembangunan Negeri melalui Rancangan Selangor Pertama (RS-1) juga merangkumi Kelestarian (Sustainability) dan Tadbir Urus yang Berkesan (Effective Governance) sebagai tema strategik utama, menekankan kepentingan ESG dalam pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Beliau menambah, beberapa projek berimpak tinggi di Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (IDRISS) juga berasaskan ESG, termasuk NCT Smart Industrial Park yang diumumkan sebagai taman perindustrian pintar pertama yang didorong oleh prinsip ESG.

“Kita sudah mempunyai asas yang baik untuk menggerakkan insentif kepada ekosistem ini, yang akan dimuktamadkan pada awal tahun 2026 dan dilaksanakan pada tahun hadapan. Libat urus bersama pihak Bursa Malaysia juga sedang dijalankan untuk menjayakan hasrat ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493485