AM

Usaha Memerangi Rasuah Perlu Memberi Keutamaan Kepada Kes Besar – PM Anwar

21/11/2025 03:17 PM

Daripada M.Saraswathi

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha memerangi rasuah perlu memberi keutamaan kepada kes-kes besar yang melibatkan kerugian besar kepada negara, bukannya hanya menumpukan kepada kesalahan kecil, dan sebarang bentuk salah laku tidak boleh dipandang ringan.

Perdana Menteri berkata perkara itu perlu dilihat dalam konteks yang sewajarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli agar tindakan diambil, termasuk kemungkinan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berhubung sepucuk surat sokongan yang dikeluarkan oleh seorang daripada setiausaha politiknya.

Anwar menjelaskan bahawa surat sokongan berkenaan adalah “kabur” dan tidak membawa maksud arahan, selain menegaskan bahawa proses kelulusan projek tidak dipengaruhi oleh surat itu kerana pihak berkuasa berkaitan maklum sepenuhnya mengenai prosedur standard.

“Lihat dulu surat itu. Rafizi mengambil pendekatan agak tegas… saya faham. Kalau mahu konsisten, ramai setiausaha politik, dahulu dan kini, pernah mengeluarkan surat sebegitu,” katanya kepada media Malaysia dalam pesawat Malaysia Airlines ketika dalam penerbangan dari Ethiopia ke Afrika Selatan.

Anwar berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan pengeluaran surat itu dan telah menegur pegawai berkenaan, sebarang tindakan perlu bersifat wajar dan seimbang.

“Tegur, kita kena tegur. Itu prosesnya. Jangan kerana orang yang kita tidak bersetuju, kita ambil tindakan keras, dan orang yang sehaluan dengan kita pula kita lembutkan. Kita mesti konsisten,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan Malaysia tidak boleh mengalihkan perhatian daripada skandal rasuah yang jauh lebih besar dan melibatkan penyelewengan berbilion ringgit.

“Kalau mahu tegas melawan rasuah, bertindaklah terhadap rasuah. Ada isu besar… berbilion ringgit hilang.

“Bagi saya, itu lebih serius. Kita biarkan berbilion ringgit diseleweng tetapi tumpu kepada perkara kecil,” katanya sambil menambah bahawa walaupun kes kecil tidak harus dibiarkan, ia tidak wajar mengatasi perhatian terhadap kes besar yang melibatkan individu berprofil tinggi.

Ditanya sama ada amaran keras memadai, Anwar berkata beliau mempunyai kuasa untuk memutuskan tindakan tatatertib dalaman.

“Saya ada kuasa. Saya tidak perlu diarah oleh sesiapa, terutama mereka yang tidak konsisten dan tidak menonjolkan kes rasuah besar melibatkan VVIP. Kejar ikan kecil mungkin buat kita popular, tetapi tidak memberi impak yang diharapkan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493495