KUALA NERUS, 21 Nov (Bernama) -- Ketiadaan dua tonggak utama diakui menjejaskan perancangan Terengganu FC (TFC) dalam menghadapi aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Seremban esok.
Ketua jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata penyerang import utamanya Yan Mabella masih dibelenggu kecederaan lutut dan memerlukan masa sekurang-kurangnya sebulan untuk sembuh manakala pemain pertahanan kebangsaan Muhammad Safwan Mazlan terpaksa direhatkan akibat kecederaan buku lali.
Pengendali berusia 49 tahun itu berkata beliau bagaimanapun percaya barisan pemain yang ada mampu menggalas tugas yang ditinggalkan dua pemain berkenaan dengan baik.
"Sudah tentu ketiadaan mereka (Muhammad Safwan dan Mabella) sedikit sebanyak merencatkan perancangan kami bertemu pasukan kuat seperti NSFC.
"Namun, kita ada pemain lain di posisi sama yang berbakat untuk menggantikan mereka. Saya ada bayangan kesebelasan utama, tetapi keputusan akhir tunggulah selepas sesi latihan terakhir nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada masa sama, Badrul Afzan turut mengingatkan anak buahnya supaya bermain seperti biasa dan tidak terlalu memikirkan tekanan yang dihadapi susulan prestasi pasukan yang kurang memberangsangkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Bagaimanapun pemain tetap perlu berwaspada dengan ancaman dua tonggak import NSFC, Jovan Motika dan Alex Agyarkwa yang mampu menggegar pertahanan skuad Penyu.
"Saya sedar perlawanan ini menjadi penentu kepada masa depan dengan TFC tetapi saya tidak mahu memikirkan itu semua dan fokus kepada perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi nanti.
"Saya harap peminat juga terus menyokong TFC walaupun kebelakangan ini prestasi pasukan agak turun naik," katanya.
-- BERNAMA