KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Landskap politik Sabah menyaksikan detik luar biasa hari ini apabila Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berdiri sebaris berkempen di Tanjung Aru di sini demi memastikan kemenangan calon PH daripada DAP bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin.
Kehadiran Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Timbalan Setiausaha Agung DAP Hannah Yeoh memberi makna besar kepada mesej kesepaduan, sekali gus mengukuhkan momentum kempen Chan di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 ini.
Zambry dalam ucapannya menyifatkan suasana malam ini dengan kehadiran warna biru (BN) dan merah (PH) di lokasi program sama sebagai simbolik kepada kebersamaan yang telah terjalin sejak tiga tahun lepas di bawah Kerajaan Perpaduan.
“Saya lihat ada dua warna yang menarik perhatian saya. Yang di atas biru, yang di bawah merah dan itulah semangat yang kita tunjukkan atas nama Kerajaan Perpaduan, iaitu kita dapat mengumpulkan, menyatukan antara biru dengan merah,” katanya.
Turut hadir Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan dan Timbalan Ketua Bahagian UMNO Putatan Reduan Aklee.
Zambry berkata kerjasama seumpama itu bukan lagi perkara baharu antara BN dan PH kerana kesalingfahaman telah lama terbina untuk memastikan agenda pembangunan rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih teratur dan berkesan.
“Biru merah ini tuan-tuan dan puan-puan, bukan kali pertama… biru dan merah ini sudah sampai ke tiga tahun umurnya. Saya yakin, dengan semangat yang kita tunjukkan, dengan saling persefahaman yang kita ada, kita kerjasama… kita semua mewakili satu kerajaan yang namanya Kerajaan Perpaduan, Kerajaan MADANI, untuk negara kita, untuk kestabilan kita semua dan untuk kemakmuran kita semua,” katanya.
Beliau berkata pemilihan Chan sebagai calon DUN Tanjung Aru membawa kelebihan besar kepada penduduk kerana gabungan peranan Chan sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi akan membawa manfaat dua kali ganda kepada kawasan itu.
Mengenai slogan “Kasi Chan sama Chan” yang digunakan dalam kempen tersebut, Zambry berkata ia idea kreatif dan mencerminkan kesungguhan calon DUN itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat.
Sementara itu, Hannah menyifatkan kemunculan bersama BN dan PH dalam kempen di Tanjung Aru untuk menyokong Chan sebagai satu detik politik yang benar-benar baharu di Sabah.
“Ini adalah kali pertama,” katanya ketika ditemui Bernama, sambil menambah kerjasama itu melambangkan terjemahan semangat Kerajaan Perpaduan yang selama ini hanya dilihat di peringkat Persekutuan.
“Kempen ini mencerminkan apa yang sedang berlaku di peringkat Persekutuan… dulu musuh, kini kita bekerjasama demi kebaikan rakyat. Apabila semua pihak bersatu dan setiap orang memberikan yang terbaik dan bekerja bersungguh-sungguh, banyak kejayaan mampu dicapai,” katanya.
Menilai konteks PRN Sabah, Hannah berkata jumlah calon bukan ukuran sebenar keupayaan sesebuah parti sebaliknya kualiti dan rekod perkhidmatan calon perlu menjadi keutamaan pengundi.
“Pilihan raya Sabah, anda boleh lihat ada ramai calon tetapi calon yang ramai tidak memberi makna sekiranya calon itu tidak berkualiti. Yang paling penting ialah calon memiliki rekod pencapaian yang telah dibuktikan.
“Walaupun beliau seorang timbalan menteri, beliau tetap meluangkan masa berada di Sabah pada setiap hujung minggu. Inilah contoh wakil rakyat yang sebenarnya anda perlukan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian, manakala 25 Nov hari mengundi awal.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA