KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Ketua Pengarah Eksekutif dan pengasas M+C Saatchi Group Malaysia Datin Seri Sharifah Menyalara Hussein dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Tunku Abdul Rahman (YTAR) berkuat kuasa 14 Nov lepas.
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu selaras dengan pindaan Akta Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Akta 389) yang telah diluluskan dengan sokongan majoriti di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Februari lepas.
“Pindaan tersebut membolehkan individu selain menteri yang bertanggungjawab dilantik sebagai Pengerusi YTAR. Sehubungan itu, Sharifah Menyalara menjadi individu pertama selain menteri yang menyandang jawatan tersebut selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh tadbir urus YTAR,” menurut kenyataan itu.
Sharifah Menyalara yang lebih dikenali sebagai Lara Hussein merupakan ahli Lembaga Pemegang Amanah di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan sebelum itu, turut memegang pelbagai jawatan kanan dalam sektor pengiklanan termasuk di Bates, Dentsu dan Young & Rubicam.
Sebagai ahli Lembaga Pemegang Amanah YTAR, Sharifah Menyalara aktif memimpin transformasi strategik yayasan tersebut ke arah lebih inklusif, relevan dan saksama selain turut mengetuai proses pembaharuan dan penjenamaan semula Biasiswa Tunku Abdul Rahman (BTAR) sejak 2019.
Beliau turut mengetuai sesi temu duga serta proses pemilihan penerima Anugerah Pingat Tunku (APT) yang meraikan graduan cemerlang daripada institut pengajian tinggi di seluruh negara.
Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata pelantikan itu akan memperkukuh peranan YTAR dalam mengangkat agenda pembinaan negara bangsa menerusi peluang pendidikan lebih inklusif, berimpak dan berpaksikan nilai kepimpinan Perdana Menteri Malaysia pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman.
Beliau yakin pengalaman luas Sharifah Menyalara dalam kepimpinan strategik, tadbir urus serta advokasi pendidikan akan terus mengangkat YTAR sebagai sebuah institusi berprestij yang menjadi peneraju pembangunan bakat muda negara.
-- BERNAMA