DUNIA

Azerbaijan Cadang Pusat Kecemerlangan Media D-8, Sedia Menjadi Tuan Rumah

21/11/2025 11:57 PM

Daripada Sh Nur Shahrizad Sy Mohamed Shaher

BAKU (Azerbaijan), 21 Nov (Bernama) -- Azerbaijan mencadangkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Media Kumpulan Lapan Negara Membangun bagi Kerjasama Ekonomi  (D-8) dan menyatakan kesediaan untuk menjadi tuan rumah kemudahan itu, kata Setiausaha Agung D-8 Isiaka Abdulqadir Imam.

Berucap pada Forum Media D-8 yang dianjurkan buat kali pertama, di sini, pada Jumaat, beliau berkata inisiatif itu bertujuan memperkukuh kerjasama media dalam kalangan negara anggota.

Imam berkata pusat yang dicadangkan itu dijangka menjadi platform utama bagi menyokong kerjasama media, perkongsian pengetahuan dan latihan profesional, di samping memperluas peluang untuk wartawan serta pengamal media di seluruh rantau D-8.

“Kami mengalu-alukan inisiatif ini yang akan mempertingkat kerjasama dalam kalangan anggota D-8. Pusat Kecemerlangan Media ini akan membantu memperkukuh suara kolektif kita dalam ruang maklumat global,” katanya.

Beliau berkata tema forum, “Menggalakkan Dialog, Kerjasama dan Kepaduan Serantau”, menggambarkan dengan tepat sasaran ingin dicapai organisasi untuk memanfaatkan pengaruh media dalam meningkatkan agenda kerjasama dan menjadikan organisasi D-8 lebih terserlah.

Imam berkata inisiatif yang dikemukakan hanya beberapa bulan selepas Azerbaijan menyertai organisasi itu pada Mac tahun ini, mencerminkan komitmen kukuh negara berkenaan terhadap pengukuhan kerjasama media dalam kalangan anggota D-8.

“Azerbaijan telah melaksanakan pelbagai inisiatif penting dalam tempoh keanggotaan yang singkat,” katanya.

Setiausaha Agung itu turut menyatakan bahawa kehadiran ramai menteri dan pegawai kanan dari kesemua sembilan negara anggota pada forum berkenaan menunjukkan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi dan maklumat.

Imam turut mengemukakan beberapa cadangan bagi memperdalam kerjasama media, termasuk pembentukan Persatuan Penyiaran D-8 untuk memudah cara pertukaran berita dan program, kerjasama antara institusi kewartawanan bagi menawarkan program fellowship dan latihan, serta menginstitusikan Forum Media D-8 sebagai acara tahunan.

Beliau berkata langkah-langkah ini, bersama cadangan penubuhan pusat kecemerlangan, akan meningkatkan keterlihatan organisasi serta memperkukuh kerjasama dalam kalangan pengamal media negara anggota.

Setiausaha Agung itu turut mengesahkan sokongan Sekretariat D-8 terhadap usaha mengoperasikan pusat berkenaan sebaik diluluskan, dan berkata ia akan disepadukan dalam agenda lebih luas organisasi meliputi inovasi, belia dan ekonomi digital.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Azerbaijan atas penganjuran forum berkenaan dan kepada negara anggota atas penglibatan berterusan mereka.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Dokumentasi Agensi Pembangunan Media Azerbaijan, Rasim Baghirov berkata Piagam Pusat Kecemerlangan Media D-8 (D-8 MEC) kini sedang dirangka.

“Selepas mesyuarat dalam talian kedua menyentuh perkara tumpuan, komen dan maklum balas daripada negara anggota telah diterima, dan berdasarkan input berkenaan, piagam D-8 MEC kini dalam penyediaan,” katanya ketika membentangkan nota konsep D-8 MEC.

Beliau berkata hasil perbincangan hari ini akan dimasukkan ke dalam Pelan Tindakan D-8 untuk dua tahun akan datang selepas pusat itu beroperasi, dan menggalakkan negara anggota terus terlibat secara aktif dalam membentuk hala tuju akan datang platform berkenaan secara bersama.

Forum sehari itu menghimpunkan pengamal media, pembuat dasar, sarjana dan pakar komunikasi bagi menggalakkan persefahaman bersama, mengukuhkan rangkaian profesional dan menyokong dialog media yang konstruktif.

Dianjurkan oleh Agensi Pembangunan Media Azerbaijan (MEDIA), forum itu bertujuan mewujudkan persekitaran maklumat yang seragam bagi memerangi maklumat palsu, maklumat salah dan berita yang berpecah, di samping memupuk solidariti dalam kalangan negara anggota.

Malaysia diwakili delegasi sembilan anggota daripada agensi di bawah Kementerian Komunikasi yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Azerbaijan menjadi anggota kesembilan D-8 pada Disember 2024, menandakan peluasan pertama blok itu dalam tempoh 27 tahun.

D-8 kini terdiri daripada, Azerbaijan, Türkiye, Mesir, Nigeria, Pakistan, Iran, Indonesia, Bangladesh dan Malaysia. Mesir kini memegang Kepengerusian D-8, yang akan diserahkan kepada Indonesia untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jan 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493723