AM

PMPA 2025 Platform Lahir Generasi Peguam Sektor Angkasa

21/11/2025 10:57 PM

NILAI, 22 Nov (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Mut Perundangan Angkasa 2025 (PMPA 2025) menampilkan enam pasukan finalis daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta. 

Penguasa Angkasa MOSTI Dr Mhd Fairos Asillam berkata finalis tersebut merupakan pasukan terbaik daripada 12 penyertaan yang layak ke pusingan Oral Advanced Rounds di Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 5 hingga 7 Dis ini.

Beliau berkata PMPA 2025 merupakan inisiatif nasional memperkasakan pemahaman undang-undang angkasa terutamanya dalam kalangan mahasiswa perundangan di negara ini serta menyokong pelaksanaan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 (Akta 834).

“Bidang perundangan angkasa ini masih baharu, menerusi pertandingan ini, ia memberikan peluang kepada MOSTI untuk membangunkan kepakaran baharu dan memberikan kesedaran tentang kewujudan bidang ini dan diharapkan ia akan terus berkembang pada masa akan datang,” katanya kepada Bernama pada Majlis Coin Toss PMPA 2025 di Galeri Canselori, USIM.

Turut hadir Dekan FSU USIM Prof Madya Dr Abdul Manan Ismail, pensyarah kanan FSU USIM Dr Che Zuhaida Saari dan Naib Presiden Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) Amerridzal Bidin.

Terdahulu, Mhd Fairos menyempurnakan acara pengundian atau coin toss, iaitu penentuan susunan rasmi enam finalis serta penetapan pasangan pemohon (appellant) dan responden (respondent) bagi sesi mut (moot) pertandingan tersebut.

Johan katanya akan mewakili negara untuk menyertai Pertandingan Manfred Lachs Space Law Moot Court peringkat Asia Pasifik tahun depan. .

-Mhd Fairos berkata PMPA 2025 menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat perundangan angkasa, pengukuhan jaringan kerjasama serta melahirkan generasi peguam masa depan yang kompeten dalam sektor angkasa.

Sempena pertandingan itu, Persidangan Perundangan Angkasa Kebangsaan (PPAK) turut dianjurkan sebagai platform perkongsian ilmiah pertama negara dalam bidang perundangan angkasa yang menghimpunkan agensi kerajaan, akademia dan industri.

Abdul Manan dalam ucapannya berkata PMPA 2025 mendedahkan peserta kepada isu sebenar seperti liability convention, tanggungjawab negara dan cabaran teknologi moden sebagai satu latihan praktikal bernilai dalam melahirkan bakal pakar undang-undang angkasa negara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493707