IPOH, 21 Nov (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah merakam keterangan wakil sebuah syarikat industri yang disyaki terlibat dalam pembuangan sisa berjadual secara haram hingga menyebabkan kematian 17 ekor lembu di Batu Gajah pada 5 Nov lepas.
Pengarah JAS Perak Datuk Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata pihaknya turut menyiasat dua syarikat berasaskan automotif dan semikonduktor, terletak di Kedah dan Pulau Pinang yang disyaki terlibat dengan insiden berkenaan.
"Kes lembu itu kita telah buka kertas siasatan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127), kerana berlakunya pembuangan sisa berjadual secara haram di kawasan tersebut. Lembu-lembu itu didapati telah makan sisa berjadual tersebut yang dipercayai sisa toksik kerana siasatan lanjut di lokasi itu kita jumpa beg jumbo terdapat sisa dan logo lambang toksik.
"Bagi dua syarikat lagi, JAS Perak telah meminta bantuan daripada JAS Kedah dan Pulau Pinang untuk menyiasat dan merakam keterangan. Kami juga mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungan sebenar bahan toksik itu.
“Setakat ini kita hanya tahu ia pepejal berwarna. Keputusan kimia akan menentukan jenis toksik dengan tepat. Selain itu, kerja-kerja pembersihan telah diarahkan sebaik siasatan awal selesai, dan kawasan itu kini disahkan selamat kerana bahan yang dibuang bukan dalam bentuk cecair," katanya.
Mohammad Ezzani turut mengingatkan orang ramai supaya segera melaporkan kepada JAS sekiranya ternampak beg besar atau bahan mencurigakan di kawasan awam melalui talian bebas tol 1-800-88-2727.
Pada 5 Nov, sebanyak 17 lembu dilaporkan mati selepas haiwan berkenaan dipercayai memakan rumput tercemar.
Kejadian menyebabkan seorang penternak kerugian kira-kira RM50,000 dan laporan polis telah dibuat bagi tindakan susulan.
-- BERNAMA