JENAYAH & MAHKAMAH

Warga Emas 94 Tahun Gagal Tuntut Hak Milik Tanah Di Raub

21/11/2025 11:17 PM

TEMERLOH, 21 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak tuntutan saman yang difailkan seorang wanita warga emas berusia 94 tahun berhubung pemilikan tanah berkeluasan kira-kira 0.1 hektar, yang didakwa miliknya di Mukim Gali, Raub. 

Hakim Roslan Mat Nor yang membuat keputusan itu turut memerintahkan A Sandramadi selaku plaintif,  membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub serta Pengarah Tanah dan Galian Pahang, selaku defendan. 

“Mahkamah membuat keputusan ini selepas meneliti keterangan saksi serta dokumen yang dikemukakan kedua-dua pihak. Kos berkenaan bukan satu hukuman kepada pihak plaintif, namun mahkamah perlu mempertimbangkan kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak defendan dalam mengemukakan pembelaan,” kata hakim itu. 

Peguam R. Kengadharan yang mewakili plaintif ketika ditemui media berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Defendan diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Fathin Nadhirah Kasim. 

Pada 2019, ibu kepada 11 anak itu telah membuat tuntutan di mahkamah sama berhubung pemillikan tanah berkeluasan kira-kira 0.1 hektar terbabit namun ditolak dan wanita itu kemudiannya membuat rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2020.

Mahkamah Rayuan memutuskan terdapat merit dalam permohonan berkenaan dan mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini untuk dibicarakan.

Media sebelum ini melaporkan, Sandramadi mendakwa sebahagian tanahnya diceroboh pihak ketiga, namun wanita itu terus menetap di situ.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493715