AM

Banjir : Satu PPS Dibuka Di Bachok

22/11/2025 12:39 PM

BACHOK, 22 Nov (Bernama) -- Satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Bachok malam tadi susulan banjir akibat hujan lebat berterusan tahap waspada sejak semalam.

Infobencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan PPS berkenaan menempatkan 43 mangsa daripada 12 keluarga daripada satu mukim yang terlibat. 

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kawasan di Kampung Budi, Tawang masih dinaiki air, dengan paras air mula menenggelami jalan kampung dan halaman rumah penduduk. 

Aktiviti harian turut terganggu, termasuk pergerakan kenderaan, manakala ramai penduduk telah mengalihkan kereta ke kawasan lebih tinggi bagi mengelak ditenggelami air.

Selain itu, kelihatan trak bomba dan anggota penyelamat berada di kawasan berkenaan bagi meninjau keadaan serta memastikan keselamatan penduduk.

Semalam, Bernama melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu ini (26 Nov).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493809