AM

TPM Ahmad Zahid Seru Rakyat Waspada Musim Monsun Timur Laut

22/11/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan penduduk di kawasan berisiko banjir supaya sentiasa berwaspada terhadap amaran cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang musim Monsun Timur Laut yang kini melanda beberapa negeri.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata ketika musim berkenaan yang dijangka berlanjutan hingga Mac 2026, beberapa episod hujan lebat berterusan diramal melanda beberapa negeri oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

“Langkah kesiapsiagaan awal amat penting untuk melindungi keselamatan keluarga dan harta benda.

“Kerajaan melalui NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), MetMalaysia dan semua agensi penyelamat akan memastikan kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik sepanjang musim monsun ini. Utamakan keselamatan,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.

Berdasarkan infografik yang turut dikongsi pada hantaran sama, episod hujan lebat dijangka melanda Kelantan dan Terengganu sepanjang bulan ini, manakala hujan lebat turut diramal berlaku di Kelantan, Sarawak, Sabah dan Terengganu bulan hadapan.

Setakat ini, satu pusat pemindahan sementara telah dibuka di Bachok, Kelantan, susulan banjir akibat hujan lebat sejak semalam.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2493959