Oleh Mohd Afiq Zulkifli
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Usaha selama hampir dua dekad seorang lelaki kurang upaya pembelajaran termasuk mengulang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebanyak 10 kali demi mencapai cita-cita, akhirnya terbalas apabila dia diterima sebagai guru pada usia 37 tahun.
Che Mohd Farid Ismail dari Kota Bharu, Kelantan, menduduki SPM buat kali pertama pada 2005 sebelum mengulang sebanyak tujuh kali bagi kertas penuh dan tiga kali melalui SPM Julai, melapor diri sebagai guru subjek Bahasa Melayu di sebuah sekolah menengah di Johor Bharu, Johor pada 17 Nov lepas.
Anak keempat daripada tujuh beradik ini mengalami masalah lambat dalam pembelajaran termasuk gagap, berdepan kesukaran mengikuti subjek akademik seperti rakan sebaya di sepanjang zaman persekolahannya, demikian kongsi adiknya Dr Che Ainun Nasihah Ismail, 35.
Menurut wanita itu, abangnya yang lebih mesra dipanggil Ed, ditempatkan di kelas biasa walaupun pencapaian akademiknya rendah kerana ibu bapa mereka kurang tahu tentang pendidikan khas.
“Abang Ed dilahirkan songsang secara normal. Dia mula menunjukkan kelewatan perkembangan pembelajaran dan pertuturan semasa membesar termasuk kecenderungan bermain sendirian,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini susulan perkongsiannya di media sosial yang tular.
pic-2
Lantaran kekurangan yang dialaminya itu, Dr Che Ainun Nasihah berkata abangnya juga kerap menjadi sasaran ejekan serta beberapa insiden buli fizikal oleh rakan sebaya ketika di sekolah, namun dia jarang meluahkan tekanan yang dialaminya.
“Walaupun ibu bapa kami juga guru dan sering mengajar abang Ed secara individu di rumah, tahap pemahaman akademiknya tetap perlahan dan dia perlu dibimbing dengan lebih rapi berbanding kami adik-beradik lain.
“Sebagai slow learner, abang Ed perlukan pengulangan yang sangat banyak, kadang-kadang sampai 20 atau 30 kali untuk satu perkara asas. Tetapi dia tetap belajar tanpa merungut, ikut sahaja tunjuk ajar dan cuba sampai faham, walaupun proses itu mengambil masa jauh lebih lama berbanding orang lain,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Dr Che Ainun Nasihah yang juga pensyarah perubatan di sebuah hospital universiti di Kuantan, Pahang, berkata selepas lulus SPM, abangnya itu menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia sebanyak dua kali sebelum berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Sains Malaysia secara jarak jauh pada Ogos 2017.
“Sepanjang tempoh mengulang peperiksaan dan sebelum melanjutkan pengajian, abang bekerja dalam pelbagai bidang termasuk sebagai pengawal keselamatan di hospital serta sekolah, selain membantu bapa mengerjakan sawah padi, namun tidak menunjukkan minat kekal dalam mana-mana pekerjaan tersebut,” katanya.
pic-3
Menurutnya, pada tahun sama keluarga mereka membawa Ed menjalani penilaian klinikal sebelum disahkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran pada Disember 2017 bagi memastikan dia mendapat sokongan serta laluan pendidikan lebih bersesuaian.
Dr Che Ainun Nasihah berkata minat abangnya terhadap dunia pendidikan semakin jelas selepas tamat ijazah, namun Ed menyedari kekurangan dari segi kemahiran mengajar sebelum keluarga mendaftarkannya untuk mengikuti Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia selama setahun pada 2023.
“Program itu adalah pengalaman pertama abang Ed tinggal jauh daripada keluarga untuk tempoh panjang, namun dia menunjukkan kemampuan berdikari selain memperoleh keputusan akademik terbaik berbanding pencapaiannya sebelum ini.
“Abang Ed kemudiannya menerima surat penempatan seminggu sebelum tarikh melapor diri sebagai guru di Johor Bahru pada 17 Nov lepas. Kami adik-beradik bantu dia dari segi menyediakan keperluan awal termasuk tempat tinggal.
“Dia selalu kata kekurangan bukan penghalang untuk berjaya dan kita kena sabar dengan ujian Allah walaupun pedih. Kami sekeluarga hanya bantu setakat mampu, selebihnya datang daripada usaha dia sendiri,” kata Dr Che Ainun Nasihah.
-- BERNAMA