SUKAN

Badrul Afzan Terima Sebarang Keputusan Pihak Pengurusan, Harap Kekal Pimpin TFC

23/11/2025 10:43 AM

SEREMBAN, 23 Nov (Bernama) -- Ketua Jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali menerima dengan hati terbuka apa sahaja keputusan pihak pengurusan berhubung masa depannya bersama kelab itu susulan prestasi semasa pasukan.

Beliau bagaimanapun mengakui masih berharap diberi peluang untuk terus memimpin Skuad Penyu sekurang-kurangnya sehingga tamat saingan musim ini, sekali gus memberi komitmen penuh untuk memperbaiki pencapaian pasukan.

“Saya serahkan kepada pihak pengurusan (kedudukan sebagai ketua jurulatih), sudah tentu saya harap diberi peluang kerana saya mahukan (pimpin) pasukan ini sekurang-kurangnya sehingga habis musim tapi saya terima apa sahaja keputusan kelab dengan hati terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perlawanan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam.

Meskipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Kyaw Min Oo dilayangkan kad merah, Badrul Afzan tetap memuji semangat juang ditampilkan anak buahnya yang berjaya bangkit menyamakan kedudukan, sekali gus menafikan tiga mata NSFC.

Media sebelum ini melaporkan pengurusan TFC memberi tempoh tiga perlawanan kepada Badrul Afzan untuk memperbaiki prestasi pasukan sebelum sebarang tindakan drastik dilakukan.

Sementara itu, pengendali NSFC Mohd Nidzam Jamil meluahkan kekecewaan selepas pasukannya terlepas peluang meraih tiga mata penuh di laman sendiri apabila dibolosi pada minit akhir meskipun Skuad Jang beraksi dengan kelebihan seorang pemain hampir sepanjang perlawanan.

Beliau berkata kesilapan kecil dan kelonggaran pada penghujung permainan membuka ruang kepada TFC untuk bangkit dan menghasilkan gol penyamaan.

“Sepatutnya kami  ‘mematikan perlawanan itu’ lebih awal… walaupun TFC beraksi dengan 10 pemain, mereka masih mampu tunjukkan ancaman pada hujung perlawanan, kami sedikit naif untuk urus satu dua situasi, jika konsentrasi kami tepat, kesalahan kecil itu tidak berlaku.

“Sebenarnya orang kata senang 11 lawan 10 pemain, ada kelebihan tetapi bagi saya, selalunya paling susah menentang 10 pemain, sebab mereka lebih fokus, kami kena belajar daripada situ,” katanya.

NSFC kini menghuni tangga keenam liga dengan 13 mata manakala TFC di kedudukan kelima dengan 14 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494051