JENAYAH & MAHKAMAH

JPJ Pahang Siasat Insiden Tular Babitkan Penguat Kuasa Dan Pemandu Lori

23/11/2025 07:02 PM

KUANTAN, 23 Nov (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang sedang menyiasat insiden membabitkan interaksi seorang penguat kuasa jabatan itu dengan pemandu lori di kawasan tol Lanchang pada Khamis lepas, yang video kejadian berkenaan turut tular di media sosial. 

JPJ Pahang dalam kenyataan memaklumkan insiden itu dirakam semasa pemeriksaan ke atas sebuah lori disyaki membawa muatan selain daripada disyaratkan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 dan difahamkan pemandu enggan memberikan kerjasama.

“JPJ komited dalam memastikan penguatkuasaan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan siasatan insiden melibatkan penguat kuasa dijalankan secara telus serta bebas.

“Satu laporan polis juga telah dibuat oleh penguat kuasa JPJ pada Jumaat lepas,” menurut kenyataan itu. 

Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan dakwaan tidak berasas.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494218