AM

Projek Naik Taraf Bekalan Elektrik Di Samarahan Siap 2028 - Abang Johari

23/11/2025 08:16 PM

KUCHING, 23 Nov (Bernama) -- Projek naik taraf bekalan elektrik di Bahagian Samarahan yang dijadual bermula bulan depan dan siap secara berperingkat hingga akhir 2028, dijangka meningkatkan kapasiti tenaga sekali gus memastikan penduduk di kawasan itu menerima bekalan elektrik lebih stabil.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Negeri Sarawak telah meluluskan peruntukan RM150 juta untuk projek berimpak tinggi itu, yang menggunakan teknologi Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan antaranya akibat cuaca buruk dan sambaran kilat. 

“Kerajaan negeri bersetuju untuk melaksanakannya dan meminta pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk melaksanakan projek itu kerana kalau kita lihat kawasan Samarahan selalu kena trip (terputus bekalan elektrik).

“Projek ini juga sebagai usaha kita membangunkan kawasan luar bandar termasuk Bahagian Samarahan mengambil kira pembangunan akan dilakukan di kawasan ini seperti lapangan terbang dan pelabuhan di Tanjung Embang, serta infrastruktur jalan raya yang bakal membuka kawasan baharu,” katanya.

Berucap ketika merasmikan projek berkenaan di Dewan Kampung Sampat, Sebuyau, kira-kira 90 kilometer dari sini, hari ini, Abang Johari berkata pelaksanaan projek itu meliputi enam daerah iaitu Samarahan, Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong, dengan kerja-awal awal bermula Disember ini.

Beliau berkata projek berkenaan meliputi lima pakej iaitu pemasangan talian MVCC dari Asajaya ke Jambatan Batang Sadong sepanjang 22.5 kilometer (km) serta dua kabel dasar laut merentasi Sungai Batang Sadong sepanjang 1.8 km.

Selain itu, pemasangan talian MVCC dari Jambatan Batang Sadong ke Sebuyau, Simunjan dan Gedong sejauh kira-kira 110 km, di samping kabel fiber optik dari Asajaya ke Sebuyau sepanjang 68.6 km.

“Kerja-kerja penyusunan semula talian, menaik taraf dan menggantikan transformer juga akan dijalankan bagi memenuhi permintaan semasa,” katanya yang turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan infrastruktur tenaga lebih kukuh dan mampan.

Dalam pada itu, Abang Johari berharap ketua-ketua masyarakat dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan tiada kejadian kecurian kabel atau vandalisme sepanjang tempoh pelaksanaan projek berkenaan.

Sementara itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi berkata projek berkenaan akan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, termasuk mengatasi masalah kerosakan peralatan elektrik di rumah dan premis perniagaan melalui pengurangan gangguan bekalan.

Beliau berkata peningkatan kestabilan sistem elektrik itu juga akan merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, sekali gus membantu menarik pelaburan baharu dalam sektor pertanian moden serta industri kecil dan besar yang bergantung kepada bekalan tenaga yang konsisten.

“Kementerian saya bersama SEB akan terus komited memastikan talian elektrik sentiasa berada dalam keadaan optimum melalui pemantauan berterusan menggunakan dron bagi pemeriksaan talian atas dan pengimbasan haba, selain kerja pemangkasan tumbuhan serta penyelenggaraan berkala,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494273