KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Kadar pengisian jawatan ketika ini masih rendah walaupun kekosongan pekerjaan secara kumulatif yang diiklankan dalam portal MYFutureJobs Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mencecah 1.1 juta bagi tempoh Januari hingga 30 Sept lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kewujudan kekosongan dalam jumlah besar itu tidak seiring dengan penyertaan pencari kerja, meskipun platform pencarian pekerjaan kini telah dipermudahkan melalui sistem digital.
“Melalui pengalaman saya sendiri mengikuti beberapa program MYFutureJobs, terdapat begitu banyak kekosongan tetapi kadar pengisiannya masih rendah. Sepatutnya, era digital ini mempermudahkan mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang ingin mengetahui sama ada Dasar Gaji Progresif (DGP) memainkan peranan penting dalam meningkatkan peluang pekerjaan baharu di negara ini.
Terdahulu, Abdul Rahman berkata statistik Perkeso bagi tempoh Januari hingga 30 Sept lepas menunjukkan sebanyak 1.1 juta kekosongan jawatan secara kumulatif telah diiklankan dalam portal MYFutureJobs, manakala pada 2024 sebanyak 1.5 juta kekosongan jawatan.
Daripada jumlah itu, 247,889 kekosongan jawatan bagi 2025 menawarkan gaji RM3,000 ke atas, manakala bagi 2024, sebanyak 339,916 jawatan menawarkan gaji sama.
“Dari Januari hingga 14 Nov 2025, sebanyak 108,826 kekosongan jawatan aktif telah diiklankan dalam portal MyFutureJobs berbanding 464,534 pencari kerja aktif,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan asal Azli Yusof (PH-Shah Alam) yang ingin mengetahui perbandingan jumlah pekerjaan baharu yang diwujudkan sepanjang 2024 dan 2025, melebihi gaji pertengahan RM2,600 sebulan pada 2023, serta sektor utama yang menyumbang kepada kenaikan tersebut.
Menjawab soalan tambahan Azli mengenai kebimbangan tawaran gaji tinggi boleh mewujudkan fenomena job hopping secara kerap, Abdul Rahman berkata kementerian menyediakan platform peningkatan kemahiran sebagai antara langkah mitigasi.
Beliau berkata inisiatif itu digerakkan melalui platform latihan kementerian termasuk TalentCorp dan HRD Corp, selain penambahbaikan struktur kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama industri, bagi memastikan tenaga kerja tempatan mampu memenuhi keperluan sektor yang menawarkan gaji kompetitif.
“...kita mahu upskilling dan reskilling kepada mereka yang sedia ada supaya pendapatan meningkat dan peluang pekerjaan itu lebih daripada kebiasaan,” katanya sambil menambah penggunaan portal kementerian dan data pasaran kerja sebenar memberi kelebihan kepada graduan TVET untuk mengisi kekosongan dalam industri.
-- BERNAMA