GEORGE TOWN, 24 Nov (Bernama) -- Syarikat penerbangan TransNusa Aviation (TransNusa) meningkatkan penerbangan Jakarta-Pulau Pinang kepada setiap hari bermula bulan depan, mencerminkan keyakinan terhadap negeri itu sebagai destinasi pelancongan, perniagaan dan perubatan yang dinamik.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri Wong Hon Wai berkata laluan Jakarta-Pulau Pinang ketika ini beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Rabu dan Jumaat dengan penerbangan sulung bermula hari ini.
“Ini kali pertama TransNusa membuka laluan penerbangan ke Pulau Pinang. Ia bukan sahaja memperluas rangkaian penerbangan antarabangsa tetapi memperkukuh pertukaran budaya, hubungan ekonomi dan persahabatan negeri ini dengan Indonesia yang terjalin sekian lama.
“Kerajaan negeri berharap kerjasama jangka panjang yang kukuh dapat dibina antara dua pihak dan pembukaan laluan ini juga seiring dengan agenda pelancongan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, penerbangan TransNusa dengan kod 8B-633 dari Jakarta ke Pulau Pinang berlepas pada 5.30 pagi waktu tempatan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang 8.20 pagi.
Wong berkata pembukaan laluan baharu Jakarta-Pulau Pinang oleh TransNusa tepat pada masa kerana Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan Indonesia menyumbang hampir 90 peratus pasaran pelancongan perubatan negeri.
Pulau Pinang menerima 284,364 pelawat dari Indonesia iaitu peningkatan 12.3 peratus dari Januari hingga September lepas, berbanding tempoh sama pada 2023.
Hubungan udara langsung Indonesia dan Pulau Pinang setakat ini melibatkan empat bandar iaitu Medan, Jakarta, Surabaya dan Banda Aceh.
-- BERNAMA