AM

Dr Noor Hisham Dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan Pada Konvokesyen USIM Ke-23

25/11/2025 04:34 PM

NILAI, 25 Nov (Bernama) -- Pengerusi Kumpulan Kesihatan UCSI Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Perubatan sempena Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke-23 di sini hari ini.

Ijazah kehormat kepada bekas Ketua Pengarah Kesihatan itu disampaikan Tuanku Canselor USIM Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud yang turut berkenan mengisytiharkan pembukaan majlis konvokesyen selama empat hari hingga 28 Nov.

Turut berkenan hadir Pro-Canselor USIM Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz dan Tan Sri  Abdul Wahid Omar serta Naib Canselor Datuk Ts Dr Sharifudin Md Shaarani.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nasyrul Quran Datuk Abdul Latiff S. Mirasa dianugerahkan  Ijazah Kehormat Doktor Pengajian Quran dan Sunnah, manakala tokoh akademik dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat Prof Dr Fauzias Mat Nor menerima penganugerahan gelaran Profesor Emerita.

Sharifudin dalam ucapannya berkata penganugerahan kepada Dr Noor Hisham itu atas sumbangan besarnya kepada negara, khususnya dalam menangani cabaran COVID-19 dengan kepimpinan, ketegasan dan kebijaksanaan yang menjadi sandaran rakyat.

“Pengiktirafan kepada Abdul Latiff pula atas peranan besar dalam melakukan anjakan paradigma terhadap projek penyalinan mushaf al-Quran pertama Malaysia serta sumbangan melestarikan seni Islam dan percetakan al-Quran pada peringkat global,” katanya.

Dr Noor Hisham ketika ucapan balas menzahirkan penghargaan atas penganugerahan itu dan menyifatkan ia sebagai pengiktirafan kepada seluruh warga perubatan kesihatan awam negara yang berkhidmat penuh dedikasi dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Sepanjang lebih tiga dekad dalam bidang kesihatan, saya menyaksikan pelbagai cabaran kesihatan awam daripada penyakit berjangkit seperti COVID-19 sehingga isu kesejahteraan mental, ia mengajar saya bahawa khidmat kepada masyarakat ialah inti sebenar profesion perubatan.

“Malah, sepanjang saya menjawat sebagai ketua pengarah kesihatan, saya memperuntukkan masa sehari seminggu untuk kerja klinikal dan pembedahan demi memberikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

USIM turut mengurniakan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada graduan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian dari Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Anas Azmi, 25, dan graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Ridhwan Ariffin, 24.

Konvokesyen membabitkan tujuh sidang itu turut menyaksikan 131 graduan pertama bagi tujuh program pengajian baharu, iaitu Doktor Falsafah Alam Bina, Sarjana Sains Alam Bina, Sarjana Sains Pergigian Gunaan, Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian) dan Sarjana Muda Pengurusan dengan Pelancongan (Kepujian).

Selain itu, Sarjana Muda Teknologi Industri Kesihatan dengan Kepujian serta Diploma Lepasan Ijazah-Diploma Amalan Kehakiman dan Guaman Syarie secara pesisir di kampus Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Sementara itu, USIM turut menganugerahkan Ijazah Anumerta kepada Pelajar Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Allahyarham Nurul Athirah Othman, 24, yang meninggal dunia akibat kanser pada 29 Mac lepas. Anugerah berkenaan diwakili adiknya, Nurul Insyirah, 22.

Sebanyak 3,631 graduan dianugerahkan ijazah pada konvokesyen kali ini membabitkan 2,923 Sarjana Muda, Diploma Siswazah (504), Sarjana (101) dan Doktor Falsafah (103).

Bertemakan “25 Tahun USIM: Melakar Kejayaan, Mencipta Perubahan”, konvokesyen kali ini bertepatan dengan sambutan Jubli Perak USIM sekali gus menunjukkan usaha berterusan universiti selama suku abad dalam memacu kecemerlangan akademik, penyelidikan, inovasi dan pembangunan insan. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495107