Oleh Lucia Terey Anak John
BEAUFORT, 25 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias di sini memiliki keluasan tanah gambut yang sesuai untuk pelbagai tanaman komersial seperti sagu serta berpotensi sebagai kawasan penternakan termasuk ayam dan lembu.
Namun, kekurangan tenaga kerja muda menjadi cabaran paling kritikal yang menghalang pembangunan optimum sektor pertanian di kawasan itu.
Penyandang kerusi DUN Klias yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih berkata kecenderungan belia berhijrah ke bandar untuk pekerjaan tetap menyebabkan sektor pertanian tempatan semakin kekurangan tenaga kerja.
Akibatnya, banyak ladang sawit dan aktiviti penternakan di Klias masih bergantung kepada pekerja luar walaupun sektor itu berpotensi menjana pulangan tinggi kepada penduduk setempat.
Justeru, bagi menangani keadaan itu, beliau berhasrat memberikan fokus kepada pembangunan modal insan melalui program latihan pertanian dan penternakan, bimbingan berterusan serta penyediaan bantuan yang bersesuaian.
Langkah berkenaan bertujuan menarik semula minat belia bagi mengusahakan tanah keluarga, sekiranya beliau diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
“Jika lebih ramai belia melibatkan diri, sektor pertanian Klias mampu berkembang menjadi satu daripada pemacu ekonomi tempatan yang stabil.
“Sama juga dalam penternakan. Kita kekurangan bekalan daging, ayam. Semuanya itu dihasilkan daripada luar (bergantung bekalan dari luar Sabah) jadi kalau boleh, saya minta kepada anak-anak belia kita ceburkan dalam bidang ini,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.
Selain pertanian, Klias juga mempunyai potensi tinggi sebagai destinasi ekopelancongan berasaskan alam semula jadi kerana terdapat kewujudan habitat Monyet Belanda (Proboscis Monkey), populasi kelip-kelip dan hutan paya bakau.
Keunikan itu menjadikannya lokasi pilihan untuk pelancongan berasaskan sungai sekali gus membuka ruang kepada pembangunan industri sokongan seperti rumah inap desa dan kraf tangan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan dalam menggalakkan sektor berkenaan, pemeliharaan alam sekitar perlu berjalan seiring dengan pembangunan pelancongan supaya habitat hidupan liar tidak terjejas.
Oleh itu, dalam perancangan lima tahun ke hadapan, beliau mahu memastikan kawasan habitat semula jadi itu diberi perlindungan lebih ketat melalui pengukuhan kerjasama pemantauan bersama pelbagai agensi.
Daripada aspek kemudahan asas pula, Isnin berkata beberapa laluan utama di Klias akan dinaik taraf bagi memperbaiki perhubungan serta menyokong aktiviti ekonomi pertanian dan pelancongan yang sedang berkembang.
Beliau memaklumkan bekalan air dan elektrik kini berada pada tahap memuaskan, namun kerja-kerja penambahbaikan tetap akan dilaksanakan mengikut keperluan semasa.
“Sepanjang sepenggal pentadbiran, banyak perkara yang saya rancangkan terlaksana termasuk menjadikan Klias kawasan sifar miskin tegar menerusi peningkatan pendapatan penduduk serta inisiatif perumahan seperti Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
“...tapi banyak juga perkara lain yang saya akui belum dapat kita laksanakan, sebab itu kita perlukan sokongan,” katanya.
N32: KLIAS: SABAH: 22,277
1. Mohd Ariffin Barhim (KDM)
2. Edwin Louis (Bebas/IND)
3. Jismit Japong (PKS)
4. Mohammad Hisyam Hazaril (PN-Bersatu)
5. Kaliwon Edi (PPRS)
6. Mohd Shaid Othman (Warisan)
7. Matlani Sabli (PIS)
8. Datuk Isnin Aliasnih @ Liasnih (GRS-Gagasan Rakyat)
9. Osin Jilon (BN-UMNO)
(2020: Isnin Aliasnih: PN-Bersatu: Maj: 3,901)
-- BERNAMA