KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Penganjuran Borneo Creative & Culture District (BCCD) 2025 membuka lembaran baharu dalam pengukuhan seni dan budaya serantau apabila festival julung kali itu berjaya menghimpunkan penggiat seni bukan sahaja dari Sabah, malah dari Sarawak, Brunei dan Kalimantan sepanjang tiga hari penganjurannya.
Balai Seni Negara dalam kenyataan berkata festival yang berlangsung dari 21 hingga 23 Nov di Kampung Warisan Sabah (Fasa II), Muzium Sabah di Kota Kinabalu itu bukan sahaja bertujuan memperkasa seni dan budaya serantau, malah meningkatkan kesedaran masyarakat akan peranan sektor berkenaan dalam pembangunan ketamadunan negara serta penyatuan komuniti.
“Antara penggiat seni yang terlibat ialah Ruas Garis, Sukaseni Malaysia, Borneo Bengkel, Pangrok Sulap, Haus KCH, Susur Galur, Asgardian Art, Persatuan Seni Visual Sabah, Sabah Youth Network for Creatives, Labuan Visual Art Association, University College Sabah Foundation serta Sekolah Seni Malaysia Sabah.
"Malah pelbagai aktiviti turut diadakan termasuk Art in the Park, Artisan Market yang menghimpunkan kira-kira 40 usahawan seni dan kraf, bengkel, demonstrasi, forum, sesi perkongsian serta persembahan seni dan budaya warisan Borneo secara tradisional dan kontemporari," menurut kenyataan itu.
pic-2
BCCD dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff dan turut dihadiri Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Josie Lai Mei Sing serta pegawai kanan MOTAC dan wakil agensi berkaitan.
Menurut kenyataan itu BCCD 2025 juga menampilkan forum dan sesi perkongsian bersama-sama penggiat seni serta usahawan kreatif di samping persembahan seni dan kebudayaan yang memaparkan keindahan warisan Borneo secara tradisional dan kontemporari melalui muzik, tarian serta persembahan visual.
pic-3
Balai Seni Negara turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah, Balai Seni Lukis Sabah, Muzium Sabah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kraftangan Malaysia, Tourism Malaysia, Sabah Tourism Board, Hello Sabah dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu atas sokongan yang diberikan terhadap penganjuran program itu.
"Penganjur berharap edisi pertama BCCD ini menjadi pemangkin program seni dan budaya pada masa depan serta terus mengangkat warisan seni Borneo ke peringkat lebih tinggi," menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut tentang program Balai Seni Negara boleh didapati di media sosial rasminya atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my
-- BERNAMA