GAYA HIDUP

Johor Tawar Percutian Lengkap Dari Bandar Moden Hingga Pulau

24/11/2025 12:26 PM

Oleh Atira Khalisha Nor Adnan

JOHOR BAHRU, 24 Nov (Bernama) -- Dengan keluasan lebih 19,000 kilometer persegi serta 10 daerah yang masing-masing memiliki identiti tersendiri, Johor merupakan antara negeri paling kaya dengan tarikan alam semula jadi dan pengalaman komuniti di Semenanjung.

Namun, di sebalik populariti destinasi arus perdana seperti Legoland dan pusat komersial di bandar raya Johor Bahru, sebahagian besar aset pelancongan Johor - dari hutan, pulau, gastronomi hingga agropelancongan - masih belum benar-benar diterokai ramai.

Program Famtrip Majestic Johor Bersama Media anjuran Tourism Johor baru-baru ini membuka kesempatan buat penulis melihat sendiri sisi Johor yang jarang dipromosikan.

Penulis menyusuri desa, pekan kecil, pulau, ladang buah-buahan dan pusat konservasi, semuanya menawarkan pengalaman yang memperlihatkan betapa luas dan pelbagai potensi negeri di selatan Semenanjung ini sebagai destinasi percutian yang segar, santai dan berjiwa tempatan.

1. Restoran Lobstam

pic-2

Sebelum meneroka lebih banyak tarikan menarik di serata Johor, pelancong disarankan mengisi perut terlebih dahulu supaya dapat tenaga penuh untuk buat aktiviti sepanjang percutian.

Jadi, bagi lokasi pertama, penulis singgah di sebuah kedai makanan laut iaitu Restoran Lobstam terletak di Gelang Patah ini.

Ibarat kata pepatah Barat “don’t judge a book by its cover”, restoran ini dari luar hanya kelihatan seperti gerai makan biasa, namun deretan makanan yang dihidangkan di atas meja pantas membangkitkan selera semua peserta Famtrip.

Semua juadah di sini cukup segar - dari sotong tepung yang rangup, ketam masak lemak cili api yang beraroma hinggalah udang nestum yang garing dan manis - membuatkan penulis bertambah nasi dek lauk-pauk yang enak. 

2. Sultan Ibrahim Stadium

pic-3

Terletak di Iskandar Puteri, stadium bola sepak yang berkapasiti 40,000 penonton itu bukan hanya kelihatan gah, malah setiap elemen di situ membuatkan penulis terpegun dengan reka bentuk canggih serta kemudahan bertaraf dunia.

Menurut pemandu pelancong Mohd Sheikh Abdullah Md Taufik, padang di stadium itu mempunyai sembilan lapisan berfungsi sebagai sistem perparitan bawah rumput bagi mengelakkan air bertakung ketika hujan lebat. 

Katanya di sini pelawat berpeluang melihat sendiri gambaran sebalik tabir di kawasan eksklusif seperti ruang istirahat dan bilik persalinan pemain bola.

Lebih menarik, pengunjung juga boleh merasakan sendiri pengalaman menaiki kereta mewah melalui JDT Hummer Limousine Tour yang beroperasi bermula 11 pagi hingga 10 malam pada hari-hari tertentu dan ketika cuti sekolah.

3. Desaru Fruit Farm

pic-4

Di Desaru Fruit Farm, Kota Tinggi pengunjung seolah-olah berada di sebuah taman hijau yang memberi pengalaman agropelancongan sesuai dengan semua peringkat umur. 

Pelancong boleh menyertai lawatan dikendalikan pemandu pelancong di situ bagi mengenali lebih 100 jenis pokok buah-buahan tropika, termasuk buah nona, jambu batu, belimbing dan pisang dengan bayaran masuk RM40 (dewasa) dan RM35 bagi kanak-kanak.

Ladang yang dibangunkan 31 tahun lalu itu turut menempatkan 37 spesies haiwan di zoo mini, antaranya burung merak, ular, burung unta, llama dan kambing.

4. SnowLand JB

pic-5

Siapa sangka di tengah-tengah cuaca panas Johor terdapat satu tempat yang membolehkan kita seolah-olah berada di negara sejuk?

Terletak bersebelahan Legoland Malaysia dan hanya 15 minit dari penginapan penulis di Sunway Hotel Big Box, Snowland di Medini ini sesuai buat mereka yang ingin merasai pengalaman musim sejuk tanpa perlu ke luar negara dengan suhu serendah   – 8 darjah Celsius.

Eksekutif Pemasaran Kandungannya Hanira Jailani berkata aktiviti popular termasuk bergambar di kawasan salji buatan dan mencuba papan luncur tinggi.

“Harga tiket berbeza mengikut hari. Untuk hari bekerja, harga tiket dewasa ialah RM44.90 dan kanak-kanak RM34.90, manakala pada hujung minggu, harga tiket dewasa RM44.90 dan kanak-kanak RM39.90,” katanya.

5. Sireh Park

pic-6

Hanya 25 kilometer (km) dari tempat penginapan penulis di Hotel St. Giles Southkey, penulis terjumpa lokasi sesuai buat pencinta alam yang mencari lokasi hijau untuk bersantai atau beriadah iaitu Sireh Park.

Ketua Pemasaran dan Komunikasinya Zakaria Baharuddin berkata tarikan utama di sini termasuk laluan ‘hiking’ sejauh 10 km yang menjadi tumpuan, dibuka seawal 7 pagi hingga 7 malam, selain kawasan tasik yang sering menjadi lokasi riadah keluarga.

“Di sini kita juga menawarkan pelbagai aktiviti lain seperti berbasikal, berkayak, aktiviti rekreasi macam ‘glamping’ dan perkhemahan,” katanya, menambah pelanggan juga boleh bersantai menghirup secangkir kopi.

Bagi penulis, singgah di tempat berkeluasan 343 hektar ini antara momen paling menyeronokkan kerana berpeluang merasai sendiri pengalaman menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan (ATV) bersama-sama dengan rakan pada waktu malam.

6. Batu-Batu Resort

pic-7

Terletak di Pulau Tengah, Mersing, Batu-batu Resort bukan sekadar destinasi percutian, sebaliknya pusat konservasi yang memberi tumpuan kepada projek pemuliharaan marin terutamanya penyu yang giat dijalankan di bawah naungan Tunku Abdul Jalil Conservation Centre (TAJCC).

Di sini, telur-telur penyu yang ditemukan di sekitar pantai dipindahkan ke pusat penetasan bagi memastikan kadar hidup lebih tinggi sebelum dilepaskan semula ke laut. 

Pendekatan konservatif itu menjadikan setiap kunjungan terasa bermakna, kerana pengunjung bukan saja menikmati kejernihan air dan suasana pulau yang tenang, tetapi turut melihat sendiri kerja pemuliharaan dijalankan secara dekat.

Bagi penulis, singgah di pusat konservasi itu memberi perspektif baharu tentang rapuhnya ekosistem marin dan bagaimana usaha kecil di sebuah pulau mampu memberi impak besar kepada kelangsungan spesies penyu.

Sebelum pulang ke Kuala Lumpur, penulis sempat singgah di Kluang Rail Coffee, Yong Peng untuk menghirup secangkir kopi panas dan roti bakar klasik yang menjadi kegemaran sejak turun-temurun bagi merasai ‘signature’ cita rasa Johor ketika melalui daerah berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494391