KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Proses pembangunan semula bangunan daif di sekolah-sekolah seluruh negara kini dapat dipercepatkan melalui penggunaan pendekatan Plan-Do-Check-Act (PDCA) seperti yang diperkenalkan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, berkata usaha itu turut diperkukuh melalui penambahbaikan prosedur di bawah Inisiatif Bitara MADANI, berasaskan situasi semasa projek di lokasi masing-masing serta keperluan khusus setiap sekolah.
Beliau menjelaskan tempoh pelaksanaan projek bangunan daif kini dikurangkan, terutama pada fasa prapembinaan, melalui penambahbaikan proses perolehan tender dan penyelarasan urusan tanah menerusi Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa.
“Di bawah transformasi prosedur ini, kaedah syor roboh telah dikemas kini dengan memendekkan tempoh proses daripada 147 hari kepada 47 hari, menurunkan kuasa NOC (Notis Perubahan) kepada Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), serta memudahkan urusan tanah melalui Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa.
“Usaha penambahbaikan sedang dilaksanakan dan pemantauan dibuat secara berkala melalui Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian serta Mesyuarat Tindakan Pembangunan Kementerian bagi memastikan semua projek berjalan lancar dan sempurna,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai perluasan mekanisme PDCA oleh STAR bagi mempercepatkan projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah.
Wong berkata peruntukan bagi pembinaan sekolah daif seluruh negara tahun ini adalah RM1.61 bilion, iaitu angka tertinggi dalam tempoh 10 tahun, menunjukkan komitmen KPM menangani isu tersebut.
Bagi sekolah daif di Kedah, beliau memaklumkan kerajaan meluluskan lebih 80 projek pembangunan semula membabitkan kos RM671.81 juta antara 2016 hingga November 2025, dengan 50 projek telah siap sepenuhnya, 16 di peringkat pembinaan, dan 21 dalam fasa pra-bina.
“Bagi memastikan kesinambungan tindakan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 Tahun 2026 – Rolling Plan 1 (RP1), kerajaan telah meluluskan 12 projek baharu dengan jumlah kos RM175.05 juta.
“Dalam konteks statistik dan data berkaitan sekolah yang mempunyai bangunan daif, data ini bersifat dinamik dan berubah mengikut keadaan semasa, berikutan pertambahan sekolah atau apabila projek telah siap, angka itu akan menurun,” katanya.
Beliau menambah sehingga 30 Sept lepas, 60 sekolah di Kedah masih dikenal pasti berada dalam kategori Skala 7, iaitu mempunyai bangunan daif.
Wong menjawab soalan asal Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai jumlah sekolah daif di Kedah yang masih belum dibaik pulih serta jadual kerja kementerian untuk memastikan semua sekolah mencapai tahap infrastruktur lengkap menjelang 2030.
-- BERNAMA