KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur menahan 124 pendatang tanpa izin dalam operasi bersepadu di sebuah pusat beli-belah barangan borong di Jalan Chow Kit di sini, hari ini.
Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata operasi dari 12.30 tengah hari hingga 2 petang itu susulan aduan awam berhubung aktiviti perniagaan melanggar undang-undang dan kebanjiran warga asing di premis tersebut.
Beliau berkata pihaknya memeriksa 205 individu dengan 124 daripadanya yang berusia dari 20 hingga 29 tahun ditahan melibatkan 59 warga Pakistan, Bangladesh (37), Indonesia (12), Myanmar (10), India (lima) dan Thailand (seorang).
Wan Mohammed Saupee berkata siasatan awal mendapati ramai dalam kalangan mereka dipercayai menyalahgunakan syarat pas bekerja dengan memiliki alamat kediaman di luar Kuala Lumpur seperti Kelantan, Johor, Melaka dan Pulau Pinang.
“Ada yang mendakwa datang bercuti atau membeli barangan dan kita percaya itu hanya taktik untuk mengelak tindakan. Siasatan lanjut turut melibatkan majikan yang menggaji mereka,” katanya kepada pemberita selepas operasi.
Beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam operasi sama mengeluarkan enam notis kompaun atas pelbagai kesalahan serta mengarahkan penutupan beberapa premis kerana beroperasi tanpa lesen dan menggaji warga asing.
“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengeluarkan tujuh kompaun keseluruhan berjumlah RM6,500, terutama bagi kesalahan gagal mempamerkan tanda harga,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pematuhan Korporat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Norhaiza Jemon berkata pihaknya memeriksa 115 premis perniagaan dan mengesan 25 kesalahan mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016.
“Kesalahan utama ialah gagal mempamerkan nama perniagaan di premis dan pada resit yang boleh dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM30,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.
-- BERNAMA