TUARAN, 24 Nov (Bernama) -- Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu Datuk Joniston Bangkuai, menaruh keyakinan tinggi bahawa momentum sokongan terhadap beliau dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus kukuh menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 Nov ini.
Menurutnya, rekod pencapaian beliau lebih penting berbanding retorik politik, manakala sambutan menggalakkan dalam siri kempen menunjukkan rakyat memahami usaha berterusan kerajaan negeri dalam membangunkan Kiulu, terutama dalam sektor pelancongan dan pertanian.
“Di Kiulu ada lapan calon, masing-masing menawarkan janji-janji, tetapi bagi saya sebagai penyandang, saya hanya meneruskan apa yang sudah dilaksanakan dan sedang berjalan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri kempen “Rumah Kita, Kita Jaga” DUN Kiulu, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, dekat sini hari ini.
Joniston berkata banyak perkara yang dijanjikan calon-calon lain sebenarnya sedang dalam proses pelaksanaan, dan rakyat Kiulu semakin sedar perkembangan ketara yang berlaku sejak GRS mengambil alih pemerintahan lima tahun lalu.
“Jika mahu bercakap mengenai jalan pertanian atau memajukan pertanian, semuanya sedang berjalan. Jika mahu bercakap mengenai pembangunan pelancongan, semua sedang dilaksanakan. Mereka baru mahu bercakap, saya sedang laksanakan apa yang telah dinyatakan,” katanya.
Beliau turut menolak sentimen yang dilemparkan terhadap beliau dan parti pemerintah yang kononnya GRS bersekongkol dengan parti dari Semenanjung.
“Bukan itu yang rakyat ingin dengar. Rakyat ingin tahu apa yang kita boleh bantu mereka, bukan bermain sentimen,” katanya.
Fokus utama beliau adalah memajukan ekonomi Kiulu melalui sektor pelancongan, tanah subur, dan potensi pembangunan luar bandar.
Mengulas mengenai persaingan antara parti-parti tempatan, beliau berkata GRS merupakan platform paling berkesan untuk menyatukan parti-parti tempatan.
Kemampuan GRS, menurut beliau, telah terbukti melalui keupayaannya mendapatkan hasil lebih besar untuk Sabah menerusi pendekatan rundingan, termasuk kerjasama dengan Petronas.
Katanya lagi, hasil ketara ini menunjukkan pendekatan rundingan yang tegas dan tersusun memberi pulangan jelas kepada rakyat Sabah.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
| N15: KIULU: SABAH: 17,191 | ||||||||||||||||
|
||||||||||||||||
| (2020: Datuk Joniston Bangkuai: PBS: Majoriti: 1,221) |
-- BERNAMA