POLITIK

Manifesto Parti Tumpu Infrastruktur, Hak Negeri, Jadi Penentu Sokongan Pengundi - Penganalisis

24/11/2025 08:16 PM

Oleh Siti Baaqiah Mamat

KOTA KINABALU, 24 Nov (Bernama) -- Parti-parti utama yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 menampilkan keutamaan hampir serupa dengan memberi tumpuan terhadap isu paling mendesak, terutama melibatkan penyelesaian masalah infrastruktur asas dan tuntutan hak negeri.

Antara janji yang ditekankan menjelang hari pengundian Sabtu ini ialah penambahbaikan infrastruktur bekalan air bersih, penambahbaikan bekalan elektrik, pembinaan dan naik taraf rangkaian jalan raya serta pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata parti seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Warisan dan Perikatan Nasional (PN) jelas menumpukan agenda penambahbaikan infrastruktur asas yang telah lama membelenggu rakyat.

“Manifesto parti-parti berpotensi mempengaruhi pengundi dan keputusan PRN Sabah, terutamanya jika tawaran itu dianggap realistik, memenuhi keperluan asas rakyat dan menyelesaikan isu yang membelenggu lama.

“Isu infrastruktur seperti air dan elektrik serta jaminan peluang pekerjaan sangat kritikal bagi pengundi dan menjadikannya penentu penting dalam pertimbangan pemilihan calon oleh pengundi,” katanya kepada Bernama. 

Dalam manifesto PH, antara cadangan utama ialah pembinaan empangan baharu dan penggantian paip lama bagi memastikan bekalan air lebih stabil, selain rancangan menambah kapasiti tenaga elektrik melalui penyelesaian tenaga lestari serta pembinaan loji kuasa baharu.

Manifesto GRS bertemakan “Rumah Kita, Kita Jaga” turut meletakkan penyelesaian isu air, elektrik dan jalan raya sebagai keutamaan, menjadi komponen penting dalam 16 strategi pembangunan gabungan itu.

Sementara itu, BN melalui “Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1)” menawarkan penaiktarafan menyeluruh ke atas infrastruktur kritikal termasuk jalan, air, elektrik dan telekomunikasi, selain mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Air Sabah.

Warisan pula bercadang membina dua empangan di dua sungai utama bagi memenuhi keperluan manakala PN mengetengahkan “Pelan Reset Infrastruktur Negeri Sabah (PRIN)” dengan peruntukan awal RM3 bilion bagi pemulihan bekalan air terawat, pembaikan segera jalan raya serta penstabilan sistem elektrik negeri.

Syahruddin yang juga Penyelidik Unit Kajian Elektoral dan Geopolitik Borneo (GeoPES) berkata isu berkenaan kekal menjadi penentu sokongan pengundi kerana ia menyentuh langsung realiti kehidupan rakyat, terutama di kawasan luar bandar yang masih berdepan kesukaran mendapatkan kemudahan asas.

Selain itu, Syahruddin berkata isu pemulangan 40 peratus hasil negeri pula muncul sebagai elemen penyatuan paling ketara dalam manifesto parti-parti bertanding kerana ia mempunyai nilai sentimental kepada rakyat Sabah dan memberi kesan langsung kepada pembangunan negeri.

Beliau berkata komitmen yang ditonjolkan parti-parti bertanding terhadap tuntutan ini memberi isyarat bahawa pengurusan hasil negeri kini menjadi ukuran penting bagi pengundi, terutama dalam konteks kemampuan Sabah membiayai pembangunan sendiri.

Menurut beliau, pendapatan tambahan daripada 40 peratus itu mampu mempercepat pembinaan infrastruktur asas, meningkatkan perkhidmatan awam serta membantu memperkukuh keupayaan fiskal negeri dalam jangka panjang.

“Isu ini mempunyai nilai sentimental kepada rakyat Sabah selain nilai kewangan yang boleh memberi impak kepada kualiti hidup, kesejahteraan masyarakat, pembangunan material Sabah dan kemajuan dalam semua aspek teknologi serta sektor di negeri ini.

“Justeru, semua parti politik berusaha meyakinkan rakyat agar melihat diri mereka sebagai relevan dan berkelayakan untuk dipilih bukan sebagai pengurus hal ehwal 40 peratus hasil negeri tetapi lebih daripada itu, mempunyai merit sebagai parti yang berkemampuan dalam melaksanakan sebarang perancangan pembangunan yang berteraskan hasil negeri berkenaan,” katanya. 

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa UMS Prof Madya Dr Romzi Ationg berkata manifesto GRS dan PH menunjukkan persamaan ketara, terutamanya dalam fokus kepada infrastruktur, pendidikan dan kebajikan rakyat, mencerminkan kerjasama untuk memastikan tuntutan MA63 dan isu 40 peratus hasil negeri dapat direalisasikan.

“Secara umum, manifesto GRS dan PH menunjukkan keselarasan dalam pembangunan ekonomi dan penyampaian perkhidmatan, namun berbeza pada penekanan autonomi tertentu.

“Keselarasan manifesto berkenaan mencerminkan kerjasama dipromosikan untuk perubahan berterusan memastikan kesinambungan dasar serta peningkatan pembangunan yang lebih mampan,” katanya.

Bagaimanapun Dr Romzi berkata pengaruh manifesto terhadap pengundi akhirnya bergantung kepada kredibiliti dan kemampuan parti serta sejauh mana rakyat percaya janji yang ditawarkan boleh diterjemah di lapangan.

“Sebahagian cadangan masih berbentuk aspirasi, yang membezakan ialah kejelasan perancangan serta kemampuan parti untuk melaksanakannya. 

“Pengaruh manifesto dipengaruhi kredibiliti parti, keberkesanan penyampaian mesej serta isu semasa, namun ia tetap memainkan peranan penting dalam memandu pilihan pengundi,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala esok sebagai undi awal.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

--  BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494693