AM

PM Anwar Puas Hati Tahap Kesiapsiagaan NADMA, Arah Usaha Maksimum

25/11/2025 11:22 AM

Daripada Saraswathi Muniappan

NAIROBI, 25 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menangani situasi banjir dan mengarahkan semua agensi melaksanakan usaha maksimum bagi membantu komuniti yang terjejas.

“Saya berpandangan, secara adilnya kita boleh membuat perbandingan dengan banyak negara lain. Mesyuarat telah diadakan beberapa bulan lebih awal yang dipengerusikan oleh (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sebelum saya berlepas (ke luar negara), kita telah menerima laporan hampir setiap minggu mengenai ramalan hujan atau impaknya di kawasan terbabit.

“NADMA sudah pun mengambil langkah-langkah sewajarnya, pusat pemindahan telah dibuka. Saya berpendapat kita sudah melakukan sebaik mungkin,” kata beliau dalam sidang media pada akhir siri lawatan ke tiga negara di Afrika.

Anwar berkata beliau memantau keadaan itu dua kali sehari dan mengarahkan semua pihak berkuasa berkaitan melaksanakan “langkah-langkah yang sewajarnya" untuk mengurangkan beban mangsa banjir.

Perkara itu membimbangkan meskipun kerajaan telah menyalurkan peruntukan yang signifikan bagi projek tebatan banjir, namun beberapa faktor seperti isu tanah, kekangan kontraktual dan proses tender sebelum ini melambatkan kemajuan projek, kata beliau.

“Namun, kini (projek berkenaan) sedang berjalan. Contohnya, di beberapa kawasan di Kelantan yang projek tebatan banjir telah pun siap, kita dapat lihat pengurangan ketara dari segi kesan dan kerugian,” kata Anwar.

Mengenai perkembangan terkini, beliau berkata situasi masih tidak menentu, dengan beberapa pusat pemindahan sementara ditutup berikutan situasi yang bertambah baik.

“Jika berlaku banjir kilat. Ada pusat dibuka semula, ada yang ditutup, dan ini menunjukkan beberapa kawasan kembali pulih,” kata beliau.

Perdana menteri turut menyuarakan kebimbangan berhubung hakisan tanah di Kuala Lumpur yang menjejaskan kawasan perumahan dan menyebabkan pokok tumbang.

“ ... Saya ada bertanyakan mengenai langkah untuk menguatkan pokok, tetapi isu itu bukan semata-mata tentang ketahanan pokok, ia juga berkaitan dengan kesan hakisan,” kata beliau.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494900