JENAYAH & MAHKAMAH

Ahli Perniagaan Rugi RM148,000 Ditipu Sindiket Derma

25/11/2025 11:06 AM

KUALA TERENGGANU, 25 Nov (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan lelaki kerugian sebanyak RM148,000 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan kutipan dana untuk program agama.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa yang berusia 40 tahun telah membuat tujuh kali pindahan wang berjumlah RM148,000 ke beberapa akaun untuk tujuan derma dalam tempoh 2020 hingga  November 2025.

Mangsa membuat laporan polis selepas dimaklumkan dana tersebut disalah guna untuk tujuan peribadi serta aktiviti mencurigakan seperti penggubahan wang haram dan jenayah terancang.

“Mangsa melakukan tujuh transaksi termasuk ke akaun individu, yayasan dan madrasah atas dasar kepercayaan serta niat baik untuk menyokong program agama dan pembinaan madrasah. Namun, beliau mendapat maklumat dana tersebut berkemungkinan disalah guna,” katanya dalan kenyataan.

Azli berkata mangsa tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan dan mendapatkan kembali wang yang telah diselewengkan. Polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mengesahkan unsur penipuan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494896