SUKAN

Deaflympics 2025: Yilamaran Raih Perak, Gagal Tebus Kekecewaan

24/11/2025 08:11 PM

TOKYO, 24 Nov (Bernama) -- Impian atlet karate negara V. Yilamaran untuk meraih emas Deaflympics 2025 berkecai apabila terpaksa akur kepada ketangkasan Oleksandr Makhno dalam perebutan emas kumite lelaki individu bawah 84 kilogram (kg) di Tokyo Budokan, hari ini.

Kekalahan berkenaan mengulangi detik tiga tahun lepas apabila wakil negara itu tewas kepada lawan dari Ukraine itu pada final Deaflympics Brazil.

Yilamaran tampil dengan aksi penuh berani pada pertarungan hari ini, namun ia belum cukup mengekang ketangkasan Makhno yang menguasai gelanggang dari mula sebelum menewaskan wakil negara dengan keputusan 4-1.

“Memang ada peningkatan berbanding di Brazil dan saya telah berhempas-pulas cari kelemahan lawan, cuma nasib tidak menyebelahi. 

“Memang ada tekanan bila jumpa dengan lawan sama tetapi saya tekankan yang saya boleh berlawan. Cuma nasib tidak menyebelahi dan saya (lihat secara positif) dapat mempertahankan pingat perak untuk Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Ditanya apakah kekuatan atlet Ukraine berkenaan, Yilamaran berkata kepantasan dan ketangkasan Makhno adalah sesuatu yang perlu beliau ‘berguru’ dengan barisan kejurulatihan. 

“Macam saya ada kurang sedikit hal berkenaan kerana kurang nampak sebab rabun. Tapi saya bagi 9/10 untuk persembahan hari ini,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi atlet karate, Muhammad Danial Moharam yang beraksi dalam kategori bawah 75kg tersingkir pada aksi suku akhir kepada wakil Algeria, Tabchache Bilal manakala Muhammad Iqbal Mohd Taib turut menerima nasib sama apabila akur kepada kehebatan wakil Taiwan Tai Wen Chi bagi kategori bawah 67kg.

Abangnya, Muhammad Afiq yang beraksi dalam kategori bawah 60kg terlepas pingat gangsa selepas tumpas kepada Sadeghzadehmoghadam Milad dari Iran. 

Persatuan Sukan Pekak Malaysia (MSDeaf) sebelum ini menetapkan sasaran tiga pingat emas pada edisi kali ini dengan memberi tumpuan kepada acara badminton beregu wanita dan badminton beregu campuran serta boling berpasukan lelaki.

Setakat ini, jumlah pingat Malaysia kekal satu emas (boling beregu lelaki), satu perak (boling beregu wanita) dan satu gangsa (badminton beregu campuran).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494698