JENAYAH & MAHKAMAH

Penduduk Rasa Gegaran Sebelum Cerun Runtuh

24/11/2025 08:18 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Penduduk di pangsapuri lama di Taman United, Seputeh di sini mendakwa merasai gegaran sebelum kejadian cerun runtuh sepanjang 60 meter yang menimpa dua kereta dan beberapa motosikal, pagi tadi.

Lim Yuet Ming, 74, berkata berada di rumah ketika kejadian dan merasai gegaran itu namun tidak mengetahui kejadian tersebut sehingga dihubungi seorang rakan.

“Saya sudah duduk di sini lebih 30 tahun dan tidak pernah berlaku kejadian cerun runtuh,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk Foo Le Choo, 70, yang tinggal di situ hampir 48 tahun berkata mengetahui kejadian itu apabila kembali dari pasar kerana melihat ramai anggota polis dan bomba di sekitar pangsapuri tersebut.

“Saya ingatkan ada orang sakit atau mati tetapi apabila melihat kesan tanah runtuh, saya cemas dan terus mendapatkan anak lelaki yang ada di rumah. Kami diarahkan berpindah kerana bimbang berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. 

Foo berkata mendiami rumah berusia 60 tahun peninggalan neneknya bersama-sama dua anak dan kejadian itu menyebabkan mereka bimbang dengan keselamatan diri, terutamanya jika hujan berterusan yang boleh menyebabkan keadaan lebih serius.

Dia yang akur dengan arahan pihak berkuasa untuk berpindah sementara menunggu kerja pembaikan dibuat berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah itu. 

Sementara itu, seorang lelaki mahu dikenali sebagai Ooi, 60, mendakwa sistem perparitan di pangsapuri itu sudah bermasalah dan keadaan bangunan yang uzur memburukkan kesan kejadian itu.

“Kita mahu pihak berkenaan melakukan sesuatu supaya kejadian sama tidak berulang, ditambah terdapat kawasan perumahan di bahagian atas yang berhampiran pangsapuri ini.

“Keadaan itu pastinya akan menjejaskan rumah kami dan menggugat keselamatan penduduk,” katanya yang sudah tujuh tahun menetap di situ.

Terdahulu, Bernama melaporkan lebih 100 penduduk di pangsapuri kos rendah di Taman United diarahkan berpindah ekoran kejadian tanah runtuh susulan hujan berterusan, pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan tanah runtuh pada 11.02 pagi, melibatkan runtuhan cerun di Jalan Sepadu 6 namun kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan kerja pengalihan aliran air dilaksanakan bagi menghalang air ke kawasan terjejas sekali gus mengurangkan risiko pergerakan tanah sebelum kerja seterusnya dijalankan.

“DBKL telah ke lokasi di Taman United melibatkan Jalan Sepadu 6 dan Jalan Sepadu 7 serta Jalan Medang Tanduk bagi menilai keadaan sebenar,” menurut DBKL menerusi hantaran di Facebook hari ini.

DBKL memaklumkan insiden di Jalan Medang Tanduk berlaku di kawasan tanah persendirian, namun tindakan mitigasi akan diambil secepat mungkin untuk keselamatan warga kota.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494709