AM

Dua Balai Polis Di Kedah Terjejas Banjir

24/11/2025 09:45 PM

ALOR SETAR, 24 Nov (Bernama) -- Hujan berterusan sejak beberapa hari lepas mengakibatkan dua balai polis di Kedah, masing-masing di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap terjejas akibat banjir.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan Balai Polis Changlun terpaksa ditutup sementara waktu berikutan banjir di daerah itu.

“Semua urusan dan laporan polis boleh dibuat di Balai Polis Bukit Kayu Hitam atau mana-mana balai polis berdekatan. Orang ramai dinasihatkan untuk mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, IPD Kubang Pasu memaklumkan Jalan Kodiang ke Padang Sera ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula dari simpang jalan Kampung Meribut hingga Padang Sera.

Semua kenderaan diarahkan untuk menggunakan laluan lencongan Kampung Meribut-Kampung Pering-Kampung Kubang Menerong-Lebuhraya Napoh.

“Jalan Napoh ke Wang Perah juga ditutup kepada kenderaan ringan dan kawasan terjejas bermula dari Kilometer (KM) 0.5 hingga KM1.5 berhampiran Kampung Jeragan, Kampung Kubang Betong dan Kampung Bukit.

“Paras air telah mencecah 600 milimeter (mm) setakat 4 petang tadi. Laluan alternatif yang disarankan kepada pengguna ialah Jalan Kampung Belukar-Kampung Padang Panjang-Kampung Perik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, laman rasmi Facebook Polis Kedah memaklumkan Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah telah melakukan tinjauan di Balai Polis Padang Sanai, Padang Terap yang terjejas akibat banjir.

“Tinjauan itu adalah untuk melihat keadaan balai serta mendapatkan gambaran sebenar situasi dan tahap kerosakan yang dialami,” menurut hantaran itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494761