JENAYAH & MAHKAMAH

Adendum Mengenai Tahanan Rumah Najib Tidak Dibincangkan Dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan

24/11/2025 08:38 PM

 

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu titah adendum yang didakwa membenarkan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah tidak pernah dibincangkan semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan dan enam responden lain turut mengemukakan bahawa kandungan perintah tambahan itu, seperti dilampirkan dalam afidavit yang disahkan oleh anak Najib, Datuk Mohamad Nizar, tidak dibincangkan semasa mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Jan 2024.

Beliau berkata berdasarkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama Perkara 42(8), sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung permohonan pengampunan di Wilayah Persekutuan mesti ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong menerusi Lembaga Pengampunan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Pada akhir mesyuarat Lembaga Pengampunan, Sekretariat Lembaga Pengampunan akan menyediakan perintah untuk kelulusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri Wilayah Persekutuan.

"Dalam hal ini, pengenaan tahanan rumah seperti yang dicerminkan dalam titah adendum itu tidak dibincangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61. Berdasarkan Minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61, hanya satu keputusan dibuat dalam mesyuarat itu, iaitu keputusan 50 peratus Yang di-Pertuan Agong (mengenai permohonan semakan substantif Najib terhadap SRC)," katanya pada perbicaraan  substantif permohonan semakan kehakiman Najib mengenai titah adendum berkenaan.

Beliau berkata dalam hal ini, adalah jelas bahawa titah adendum itu tidak dibincangkan pada Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang diadakan mengikut Perkara 42(8) Perlembagaan Persekutuan. Sehubungan itu, Lembaga Pengampunan tidak dapat memberikan nasihat yang dimandatkan di bawah Perkara 42(9).

"Titah adendum itu tidak dikeluarkan mengikut rangka kerja prosedur yang sepatutnya yang ditetapkan di bawah Perkara 42(1) dibaca bersama Perkara 42(8) dan Perkara 42(9) Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, titah adendum berkenaan tidak boleh dikuatkuasakan di sisi undang-undang.

"Dalam keadaan ini, sebarang keputusan yang dibincangkan dalam mesyuarat dengan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 mengikut cara yang dipertimbangkan oleh Perkara 42 Perlembagaan yang merangkumi keputusan 50 peratus Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak wajar," katanya.

Menurut Shamsul, semasa Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda dimohon untuk mempertimbangkan lima permohonan pengampunan termasuk permohonan pengampunan penuh Najib susulan sabitan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Shamsul berkata dalam mesyuarat tersebut Yang di-Pertuan Agong mencadangkan supaya pemohon (Najib) diberikan pengampunan penuh dan meminta ahli Lembaga Pengampunan memberikan pandangan mereka. Majoriti ahli Lembaga Pengampunan menyatakan pandangan bahawa pemohon tidak sepatutnya diberikan pengampunan penuh.

"Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong mencadangkan supaya pemohon diberi pengurangan 50 peratus hukuman penjara dan denda," katanya.

Sementara itu, peguam bela Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah titah adendum itu sah dan wujud.

"Sudah lebih setahun (sejak titah itu dikeluarkan), titah adendum ini tidak dikuatkuasakan. Anak guam saya masih dalam penjara dan dia sepatutnya berada di bawah tahanan rumah," katanya.

Hakim Alice Loke Yee Ching menetapkan 5 Jan depan untuk keputusan.

 Pada 13 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan menyerahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan mengenai meritnya di hadapan hakim baharu, selepas menolak permohonan Peguam Negara untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan berhubung adendum tersebut.

Najib, 72, memohon perintah mandamus bagi mengarahkan responden memberi jawapan serta mengesahkan kewujudan dokumen tambahan bertarikh 29 Jan tahun lepas.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut memohon perintah sekiranya dokumen tambahan tersebut wujud, semua responden atau mana-mana seorang daripada mereka melaksanakannya serta-merta, termasuk memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman penjara di rumah.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Beliau kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022, yang membawa kepada keputusan Lembaga Pengampunan untuk mengurangkan hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494716