Oleh Farhana Abd Kadir
SHAH ALAM, 24 Nov (Bernama ) -- Menjangkakan risiko banjir yang setiap tahun menjejaskan ribuan penduduk, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) aktif dalam bantuan bencana, mengambil langkah proaktif dengan menghantar bantuan keperluan harian ke kawasan berisiko lebih awal.
Langkah itu mampu mengurangkan kebergantungan kepada operasi kecemasan saat banjir berlaku, sekali gus memastikan mangsa tidak terputus bekalan makanan dan keperluan asas walaupun laluan utama terjejas atau dinaiki air.
Pengasas Kembara Kitchen William Cheah berkata pengalaman lebih sedekad menguruskan bantuan bencana membuktikan bahawa penghantaran awal sebelum musim banjir melanda menjadikan operasi lebih cekap dan keberkesanan kos.
Beliau berkata strategi itu bukan sahaja membantu pihak NGO mengenal pasti keperluan sebenar di kawasan tumpuan banjir, malah mengelakkan kelewatan penghantaran apabila bencana berlaku serentak di beberapa negeri.
“Sebelum Monsun Timur Laut, kami menjalinkan kerjasama awal dengan pegerak balas seperti bomba dan polis di seluruh negara, selain mengagihkan makanan siap dimakan (RTE) Hero Meals bagi memastikan perancangan bantuan dapat diselaraskan lebih cepat.
“Bagi kami, penghantaran pada saat banjir berlaku sering berdepan cabaran seperti jalan terputus, permintaan mendadak serta kekangan logistik, terutama untuk Sabah dan Sarawak yang memerlukan hingga dua minggu untuk menyalurkan bantuan,” katanya kepada Bernama.
William berkata untuk tahun ini sahaja, Kembara Kitchen telah melangkaui sasaran persiapan apabila lebih 70,000 pek RTE berjaya dihantar ke seluruh negara, termasuk misi bantuan di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata sebahagian besar pek bantuan itu merupakan sumbangan rakan korporat kepada Kembara Kitchen, dan kebanyakannya telah berada di tangan pegerak balas di seluruh negara untuk diagihkan sebaik diperlukan.
"Sebagai Rakan Korporat dan Rakan NGO Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kembara Kitchen turut menyediakan 10,000 pek RTE khas untuk kegunaan NADMA sebagai sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan agensi itu bagi misi bantuan pasca-MTL 2025/2026.
"Buat masa ini, kami juga masih fokus dalam menghasilkan lebih banyak Hero Meals bagi menghadapi sebarang kemungkinan hingga Mac tahun depan, selain bekalan penting lain seperti lampin pakai buang bayi dan dewasa serta keperluan sanitasi turut disediakan," katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh hadir ke Pusat Pengumpulan Kembara Community Care Center (K3C) di Kota Kemuning, di sini atau menghubungi Pengurus Koordinasi Bencana Kembara Kitchen Azreen Harun ditalian 017-883 5249 untuk maklumat lanjut.
Sementara itu, Pengarah Pusat Pelestarian Kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Fadhil Mohd Din berkata pendekatan proaktif secara konsisten bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah mempercepat proses pemindahan, mengekalkan kesinambungan pembelajaran dan mengurangkan kos pemulihan selepas bencana.
Beliau berkata kerjasama antara NGO dan pihak berkuasa tempatan berupaya mempercepat penghantaran bantuan akhir ke kawasan yang dikenal pasti berisiko ditenggelami air.
“Di Malaysia, rantaian amaran awal sebenarnya sudah tersedia, termasuk ramalan dan amaran MetMalaysia (Jabatan Meteorologi Malaysia) menerusi aplikasi myCuaca, serta data paras sungai masa nyata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui platform Public InfoBanjir yang membantu mempercepat operasi bantuan,” katanya.
-- BERNAMA