SEREMBAN, 24 Nov (Bernama) -- Sebanyak 1,135 pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir di negeri ini susulan Monsun Timur Laut (MTL).
Pengarahnya Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata kesiapsiagaan itu turut melibatkan aset darat dan air serta penyediaan logistik di semua daerah bagi memastikan gerak kerja operasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan teratur.
Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan berkata APM menjalankan pemantauan berterusan di 123 kawasan hotspot banjir yang dikenal pasti di seluruh negeri bagi memastikan tindakan awal dapat diambil sekiranya berlaku perubahan keadaan.
“Semua pegawai dan anggota APM telah berada dalam mod kesiapsiagaan sejak 1 Nov lepas berikutan jangkaan peningkatan hujan sepanjang musim MTL.
“Selain itu, kami berkoordinasi dengan agensi berkaitan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, serta Agensi Pengurusan Bencana Negara sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mohd Nazri berkata APM turut memastikan semua Pusat Kawalan Operasi Daerah berfungsi pada tahap optimum, termasuk aspek komunikasi dan pengumpulan maklumat bagi memudahkan proses penyampaian bantuan sekiranya berlaku bencana.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap amaran cuaca yang dikeluarkan pihak berkuasa serta mematuhi arahan pemindahan apabila diperlukan bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
-- BERNAMA