DUNIA

PM Thailand Anutin Akan Lakukan Lawatan Rasmi Ke Malaysia Untuk Perkukuh Kerjasama Dua Hala

24/11/2025 09:16 PM

BANGKOK, 24 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada Rabu ini bagi memperkukuh kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Thailand berkata Anutin dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membincangkan kaedah meningkatkan lagi kerjasama Thailand-Malaysia.

“Kedua-dua Perdana Menteri akan bermesyuarat untuk memperdalam kerjasama, khususnya dalam pembangunan kawasan sempadan, keselamatan sempadan, kesalinghubungan pengangkutan, perdagangan dan pelaburan, pelancongan, keselamatan makanan serta industri masa depan,” menurut kementerian itu pada Isnin.

Kementerian itu berkata kedua-dua pemimpin akan turut membincangkan usaha memperkukuh keupayaan ASEAN menangani cabaran global, berasaskan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung bulan lepas di Malaysia.

Pada 25 Okt, Anutin, yang dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada September, telah melakukan lawatan pertama beliau ke Malaysia untuk menghadiri sidang kemuncak berkenaan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494745